Hospital Umum Sarawak diiktiraf WHO sebagai hospital penyelidikan klinikal

Nickyson Nyambar
April 23, 2020 19:24 MYT
Hospital Umum Sarawak (HUS) terima pengiktirafan Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai hospital penyelidikan klinikal. FOTO: Facebook Dr Sim Kui Hian
Hospital Umum Sarawak (HUS) terima pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai hospital penyelidikan klinikal.
Ia selepas HUS mendaftarkan pesakit dalam percubaan solidariti kajian beberapa jenis ubat bagi merawat COVID-19.
Selain HUS, Hospital Sungai Buloh turut mendapat pengiktirafan sama selepas melakukan perkara sama.
Percubaan tersebut dijalankan pada 21 April terhadap seorang pesakit Hospital Sungai Buloh dan manakala percubaan kedua terhadap pesakit HUS dijalankan pada 22 April.
Menyambut baik pengumuman tersebut, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menyifatkan pengiktirafan itu membuktikan HUS mempunyai rekod yang baik dalam mengendalikan penyelidikan klinikal.
“HUS adalah hospital yang melakukan fasa pertama dan fasa awal dalam fasiliti penyelidikan khusus dan yang terbaik di dunia.
“Dalam penyelidikan ini, ini adalah sebahagian sumbangan Sarawak kepada dunia jika sesuatu terhasil melalui penyelidikan ini, ujarnya dalam sidang media harian COVID-19 Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Khamis.
Sementara itu, menerusi sidang media sama, Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengumumkan bahawa Sibu dan Sarikei hari ini diisytiharkan sebagai Zon Hijau selepas mencatatkan penurunan dalam kes positif COVID-19.
“Pada hari ini juga saya dengan sukacita memaklumkan bahawa dua lagi daerah iaitu Sibu dan Sarikei yang dahulunya berada dalam Zon Kuning kini dikategorikan sebagai Zon Hijau.
“Jadi jumlah keseluruhan Zon Hijau di Sarawak kini adalah 28,” tambah Uggah.
Antara lain Sarawak hari ini merekodkan 4 lagi kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 459 kes.
Manakala 257 kes baharu Person Under Investigation (PUI) turut dicatatkan di negeri itu.
#AWANI Sarawak #COVID-19 #Datuk Seri Dr Sim Kui Hian #Hospital Sungai Buloh #Hospital Umum Sarawak #Sarawak #WHO
;