Hospital Tunku Azizah sambut lapan bayi 1 Syawal
Faida Rahim
April 22, 2023 16:57 MYT
April 22, 2023 16:57 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai lapan bayi dilahirkan sejak tengah malam tadi di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur ketika umat Islam meraikan ketibaan 1 Syawal pada Sabtu.
Buat salah seorang daripadanya, Nurmasitah Nasri, 35, ini merupakan pengalaman kali kedua menyambut kelahiran cahaya mata di bulan Syawal.
“Sebelum ini, anak pertama saya lahir pada dua Syawal. Syukur Alhamdulillah saya diberi kesempatan sekali lagi menyambut bayi kedua yang lahir awal pagi tadi.
“Alhamdulillah proses melahirkan juga lancar dan bayi saya berada dalam keadaan sihat,” kata wanita berasal dari Kuala Lumpur ini kepada Astro AWANI.
Bagi Haslenda Farahana Bt Mohammad, 31, melahirkan bayi lelaki di malam raya merupakan satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan.
“Seronok dapat melahirkan di saat umat Islam sedang sibuk buat persiapan malam raya. Sepatutnya saya melahirkan pada 25 hari bulan ini. Rezeki anak keluar tiga hari lebih awal.
“Alhamdulillah anak kedua saya lahir secara normal dan sihat. Prosesnya juga lancar. Saya berterima kasih dengan kakitangan hospital yang menjaga saya dan bayi di sini,” katanya.
Ketika ditanya mengenai nama bayi lelakinya itu, Haslenda memberitahu masih memikirkan nama sesuai namun tidak menolak kemungkinan untuk menamakan anak keduanya, Mohd Syawal.