Hospital Tung Shin terus berpegang teguh pada visi membantu komuniti setempat

Bernama
September 17, 2023 05:30 MYT
Hari ini, Tung Shin telah berkembang menjadi kemudahan penjagaan kesihatan tertiari akut yang komprehensif. - Foto Facebook/Tung Shin Hospital
KUALA LUMPUR: Tatkala anda menelusuri bandar Kuala Lumpur, tersergam sebuah hospital yang telah bertahan selama 142 tahun. Dan selama lebih satu abad, hospital ini telah menyaksikan pelbagai perkembangan Kuala Lumpur dan masyarakat Malaysia khususnya.
Mungkin ada yang pernah mendengar tentang hospital bernama "Tung Shin" sebelum ini, tetapi hanya segelintir yang mengetahui hospital berkenaan telah berusia 142 tahun dan melalui pelbagai edaran masa - masa perang, kebuluran, dan pergolakan ekonomi selain menyaksikan kemerdekaan negara.
Asalnya, dinamakan Pooi Shin Thong pada tahun 1881 dan mendiang Yap Kwan Seng yang merupakan Kapitan Cina kelima dan terakhir di Selangor telah menubuhkan institusi itu semasa pentadbiran kolonial British dengan menggunakan dana peribadinya untuk membantu menyediakan perkhidmatan perubatan percuma dan pengurusan pengebumian untuk orang miskin.
Hospital itu merupakan antara banyak sumbangan lain Yap kepada pembangunan Kuala Lumpur, selain daripada sekolah dan pertubuhan kebajikan.
Legasi perniagaan dan dermawan mendiang terus diiktiraf di Kuala Lumpur, dengan namanya dipahatkan pada Jalan Yap Kwan Seng, jalan yang telah dibina di atas tanah yang didermakan Yap dan hari ini merupakan jalan yang terkenal terletak berhampiran Menara Berkembar Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Operasi Hospital Tung Shin, Teng Yu Yuet berkata penubuhan hospital itu bermula sebagai klinik di sepanjang Jalan Petaling untuk membantu buruh yang kebanyakannya pendatang dari China dan India bekerja dalam industri perlombongan bijih timah dan pembuatan batu bata di Kuala Lumpur (sepanjang Sungai Klang dan Sungai Gombak serta Brickfields).
"Apabila Kapitan Yap melihat keperluan rawatan perubatan, beliau kembali ke China dan membawa dua pengamal Cina untuk merawat pesakit. Beliau menggunakan dana sendiri untuk tempoh 13 tahun tanpa gangguan.
"Apabila industri bijih timah dan batu bata berkembang pesat, terdapat lebih banyak permintaan untuk rawatan perubatan, dan Yap tidak dapat membiayai semuanya sendiri. Beliau meminta rakan-rakannya dan ahli perniagaan lain, termasuk Loke Yew, untuk turut serta dan menubuhkan hospital komuniti.
"Dari situlah, Pooi Shin Thong mengubah namanya kepada Tung Shin. Perkataan 'Tung' bermaksud bersama, dan 'Shin' bermaksud beramal, jadi bersama-sama mereka melakukan amal," katanya kepada Bernama.
Penubuhan bersejarah Tung Shin dan sokongan tambahan
Dengan dana tambahan daripada ketua-ketua komuniti dan sokongan daripada kerajaan British, hospital itu telah diberikan tanah di lokasi sedia ada Tung Shin dan diwartakan untuk pembinaannya pada tahun 1894.
Hospital ini kemudiannya telah dirasmikan pada 22 Nov 1895 oleh Puan JP Rodger, isteri kepada pemangku Residen British Selangor.
"Hospital itu menjadi institusi penjagaan kesihatan yang penting, dan pesakit dibawa ke pintu hospital dengan kereta lembu, yang diubah menjadi ambulans," kata Teng.
Beliau berkata terdapat sokongan kewangan nominal daripada kerajaan British - hasil wang cukai yang dikutip daripada industri perlombongan, tetapi sebahagian besar operasi disokong oleh derma daripada ketua komuniti atau masyarakat yang terdiri daripada peniaga dan dermawan.
Antara penderma pada tahun-tahun awal ialah Liew Weng Chi (yang menderma wad wanita -- Wad Loke Yin), adik beradik lelaki Haw Par (Aw Boon Haw dan Aw Boon Par) yang juga pengasas produk Tiger Balm dan Sin Chew Jit Poh (yang menderma wad lelaki -- Wad Haw Par).
Bergerak dari situ, Teng berkata sebuah majlis diwujudkan untuk membentuk pemegang amanah untuk menguruskan dana dan mentadbir penubuhan itu dalam operasi harian.
"Menariknya, ia telah berjaya diwarisi dari generasi ke generasi, dan mereka telah berpegang pada nilai teras yang sama -- untuk membantu golongan yang memerlukan.
"Kami juga merupakan sebuah institusi bukan mencari keuntungan. Ini bermakna kami tidak mempunyai pemegang saham. Sebarang keuntungan yang diperoleh digunakan semula untuk pembangunan dan saraan perkhidmatan Hospital Tung Shin," katanya.
Bagaimanapun, apabila perkhidmatan perubatan Barat ditubuhkan, hospital ini tidak dapat memberikan perkhidmatan percuma; sebaliknya, pesakit dikenakan kadar subsidi. Ini ialah kerana kos untuk melengkapkan hospital dengan teknologi dan peralatan perubatan baharu serta melibatkan doktor dan profesional kesihatan adalah tinggi.
Pun begitu, Teng yang telah berkhidmat dengan Tung Shin sejak lima tahun lepas berkata pihak hospital sememangnya mempunyai saluran untuk mereka yang memerlukan kebajikan dan bantuan kewangan.
Persepsi Hospital Tung Shin
Bagi mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki ke hospital berkenaan, mereka mungkin beranggapan tujuan utama penubuhannya adalah untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat Cina.
Penulis juga tidak terkecuali sehinggalah terpaksa ke sana untuk menjalani X-ray kerana ia menawarkan kadar paling berpatutan. Antara perkara pertama yang dapat dilihat oleh penulis ialah struktur hospital yang kelihatan agak lama tetapi kukuh serta senarai penderma di dinding sisi bangunan.
Namun tidak lama kemudian, penulis mula melihat agak ramai pegawai hospital dan pesakit terdiri daripada pelbagai kaum serta etnik berlegar di sekitar perkarangan hospital, bukan sahaja mencari ubat moden tetapi juga rawatan menggunakan perubatan tradisional Cina (TCM).
"Kami tidak berkhidmat untuk satu kaum sahaja; hospital ini terbuka dan menyantuni semua kaum. Kami juga mempunyai surau untuk pelanggan Muslim, dan kami belajar tentang keperluan untuk sebuah surau yang lengkap. Kami sentiasa menerima cadangan dan maklum balas yang baik daripada pesakit Muslim untuk menaik taraf surau kami.
Menurut Teng, memandangkan hospital itu terus memperkukuh perkhidmatannya dengan mendapatkan teknologi, peralatan dan kemudahan yang mencukupi dan sesuai untuk melakukan diagnosis yang tepat dan rawatan yang betul dengan berkesan, ia cuba sebaik mungkin untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berpatutan dan boleh diakses.
"Perubatan moden (juga dikenali sebagai perubatan Barat) menyediakan diagnosis melalui ujian makmal dan prosedur pengimejan dan merawat masalah organ atau kesihatan melalui ubat dan/atau pembedahan yang terbukti secara saintifik. Ia mempunyai kesan yang cepat dan segera. Ia sangat berkesan untuk keadaan yang mengancam nyawa.
"Sementara itu, TCM memberi tumpuan kepada tindak balas keseluruhan badan terhadap rawatan, permulaan keberkesanan rawatan akan mengambil masa yang lebih lama.
"Kami melihat hasil klinikal yang baik daripada terapi gabungan menggunakan perubatan Barat untuk rawatan akut bagi menangani diagnosis dan simptom klinikal semasa dan TCM seperti akupunktur, tuina, ubat herba sebagai terapi tambahan untuk meningkatkan fungsi badan dan melegakan kesakitan," katanya.
Memastikan pintunya sentiasa terbuka untuk semua
Hospital Tung Shin akan terus berpegang teguh pada visi untuk membantu komuniti tanpa mengira status kewangan mereka.
Apa yang menarik ialah pusingan pengumpulan dana hospital itu telah mendapat sokongan bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga melibatkan superstar Hong Kong, termasuk Jacky Cheung dan Jackie Chan, melalui konsert dan pendapatan filem mereka, serta syarikat produksi Hong Kong Shaw Brothers membantu membina salah satu bangunan di hospital.
"Hari ini, Tung Shin telah berkembang menjadi kemudahan penjagaan kesihatan tertiari akut yang komprehensif, menyediakan perkhidmatan daripada perubatan am kepada rangkaian penuh kepakaran seperti kardiologi, penjagaan kanser, penjagaan mata, dermatologi, telinga, hidung dan tekak (ENT), kesihatan penghadaman, pembedahan ortopedik, pembedahan saraf, urologi, kesihatan wanita dan kanak-kanak.
"Kami sama seperti penyedia penjagaan kesihatan swasta lain, tetapi kami berpegang teguh pada nilai teras kami untuk menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses oleh masyarakat setempat," kata Teng.
Walaupun mengekalkan nilai-nilai teras menyediakan pelan penjagaan kesihatan mampu milik adalah mencabar memandangkan kebanyakan hospital sedang menuju ke arah penswastaan untuk bersaing dengan kos operasi masing-masing, Tung Shin terus berpegang teguh pada pendiriannya untuk menyediakan penjagaan kesihatan alternatif dan berpatutan kepada orang ramai.
Jika ada satu pengajaran penting yang dapat kita pelajari daripada perjalanan Hospital Tung Shin ini ialah, kekuatan diri dalam berpegang kepada komitmen yang tersemat walau dalam apa jua cabaran yang perlu diharungi.
-- BERNAMA
#Hospital Tung Shin #penubuhan #kesihatan #perubatan
;