Hospital Tuanku Ja'afar tubuh jawatankuasa siasat dakwaan cuai
Bernama
Februari 15, 2023 21:49 MYT
Februari 15, 2023 21:49 MYT
SEREMBAN: Hospital Tuanku Ja'afar di sini akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khusus bagi menyiasat isu membabitkan dakwaan berlaku kecuaian oleh pihak hospital tersebut seperti yang tular di laman Facebook hari ini.
Pengarahnya Datuk Dr Zaleha Md Noor berkata jawatankuasa berkenaan terdiri daripada pakar dan pegawai perubatan bagi meneliti dakwaan berkenaan dengan teliti.
"Kami memandang serius isu ini dan satu pertemuan dengan pengadu telah diadakan bagi mendapatkan gambaran lebih terperinci.
"Kami memohon mana-mana pihak untuk tidak membuat sebarang andaian terhadap pihak yang terbabit sepanjang proses siasatan dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular catatan di Facebook seorang wanita meluahkan rasa kecewa dengan perkhidmatan di Hospital Tuanku Ja'afar kerana mendakwa berlaku kecuaian ketika dia membawa anaknya yang mengalami kemalangan mendapatkan rawatan di hospital itu.
-- BERNAMA