Hospital swasta di Sungai Petani tutup sementara untuk pembersihan

Astro Awani
Mac 22, 2020 11:52 MYT
Bagaimanapun wanita itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk tindakan lanjut.
Sebuah hospital swasta di Sungai Petani menghentikan operasi sehingga Isnin depan selepas seorang wanita yang menerima rawatan didapati mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang disahkan COVID-19.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak Hospital Pantai Laguna Merbok, wanita warga tempatan berusia 30 tahun itu hadir ke hospital untuk rawatan bersalin.
Pesakit itu bagaimanapun tidak memberikan pendedahan penuh semasa proses pemeriksaan di hospital dan dirawat di wad biasa, namun mengalami demam selepas melahirkan anak.
"Siasatan lanjut mendapati wanita terbabit pernah tinggal bersama ahli keluarga yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dan hasil ujian saringan adalah positif COVID-19.
"Bagaimanapun wanita itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk tindakan lanjut," kata kenyataan itu.
Susulan itu, hospital berkenaan akan ditutup sementara bagi proses pembersihan dan pembasmian kuman.
Kesemua kakitangan yang bersentuhan dengan pesakit sudah dikenal pasti dan mereka dikuarantin dan hasil saringan mendapati mereka negatif COVID-19.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak hospital juga memutuskan untuk membenarkan semua pesakit pulang sepanjang tempoh premis itu ditutup selepas mendapat nasihat daripada perunding masing-masing.
Perkhidmatan klinikal akan disambung semula pada 24 Mac.
Sejak Januari lalu, Hospital Pantai Laguna Merbok menyediakan langkah berjaga-jaga terhadap penularan COVID-19, termasuk mengehadkan laluan masuk ke hospital, pemeriksaan suhu dan gejala ke atas setiap pelawat.
#Alor Kedah #coronavirus #COVID-19 #Hospital Pantai Laguna Merbok #hospital swasta #koronavirus #Sungai Petani #wanita bersalin
;