Hospital swasta caj pelitup muka mahal dikompaun RM200,000
Astro Awani
Mei 22, 2020 16:44 MYT
Mei 22, 2020 16:44 MYT
Sebuah hospital swasta dikompaun RM200,000 kerana menjual pelitup muka tiga lapisan melebihi harga maksimum yang ditetapkan, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Kementerian itu dalam kenyataan, berkata kompaun itu dikeluarkan kepada hospital berkenaan pada Jumaat, berikutan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.
Katanya, sekiranya kompaun gagal dibayar dalam masa yang ditetapkan, pihak hospital akan dituduh di mahkamah.
KPDNHEP memulakan siasatan pada 13 Mei lalu dengan membuat pemeriksaan di hospital terbabit, selepas kejadian seorang pesakit dikenakan caj bagi pelitup muka melebihi harga maksimum yang ditetapkan, menjadi tular di laman sosial.
Pesakit terbabit mendakwa dikenakan caj sebanyak RM201.60 bagi 18 keping pelitup muka tiga lapisan yang digunakan oleh jururawat ketika merawatnya.
Jumlah tersebut bersamaan dengan RM11.20 sekeping, sedangkan harga maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan adalah RM1.50 sekeping.
Turut dirampas ialah sejumlah dokumen termasuk pelitup muka tiga lapisan yang sama jenis daripada hospital berkenaan, untuk tujuan siasatan.
"KPDNHEP serius dalam memastikan bekalan pelitup muka mudah diperolehi pada harga yang tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan," kata kementerian itu.