Hospital sesak, KKM tidak sewenang-wenang biar pesakit menunggu lama - Timb. Menteri

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 5, 2022 15:23 MYT
Lazimnya kesesakan di hospital kerajaan berlaku disebabkan peningkatan kes sesuatu penyakit. - Gambar hiasan Hospital Sungai Buloh/ Astro AWANI
TAIPING: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak sewenang-wenangnya membiarkan pesakit menunggu lama di bahagian kecemasan bagi mendapatkan rawatan.
Sebaliknya, perkara itu sekiranya berlaku disebabkan oleh beberapa faktor, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Menurut beliau, antara faktor yang menyumbang pada kesesakan itu ialah peningkatan kes COVID-19 serta beberapa penyakit lain seperti Influenza dan penyakit kaki tangan dan mulut (HFMD).
“Peningkatan (kes) bukan sahaja COVID-19, (bahkan) kita ada HFMD, influenza menyebabkan orang ramai berkunjung ke hospital (untuk mendapatkan rawatan).
“Apa yang kita nak katakan memang keadaan hospital agak padat terutama di ED (Emegency Department). Antara perkara telah dilakukan, kita telah menambah waktu operasi di Klinik Kesihatan jadi kita menggalakkan dan kita bagi pemberitahuan klinik ini beroperasi sampai malam… jadi sepatutnya mengurangkan kesesakan di emergency department,” kata Dr Noor Azmi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Perak Tahun 2022 di sini, pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, Dr Noor Azmi berkata, selepas KKM mengambil beberapa inisiatif, keadaan di hospital kerajaan pada masa ini masih terkawal.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan pesakit bukan kes kecemasan agar mendapatkan rawatan di klinik-klinik berhampiran bagi mengelakkan kesesakan di hospital.
#hospital sesak #hospital kerajaan sesak #peningkatan kes penyakit #Dr Noor Azmi Ghazali
;