Hospital Selayang laksana penambahbaikan tangani pesakit beratur panjang
Bernama
November 30, 2020 21:18 MYT
November 30, 2020 21:18 MYT
KUALA LUMPUR: Hospital Selayang melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan bagi menangani isu pesakit yang perlu beratur panjang untuk mendapatkan rawatan di klinik pakar hospital itu.
Pengarah Hospital Selayang Dr Sakinah Alwi memaklumkan sepanjang tempoh pandemik COVID-19, penjarakan fizikal telah diamalkan di hospital itu sekali gus mengehadkan bilangan pesakit yang berada dalam ruangan klinik pakar pada satu-satu masa.
Tindakan itu secara tidak langsung juga telah mengakibatkan ramai pesakit perlu beratur di luar klinik pakar, katanya.
Antara langkah diambil bagi menangani isu itu termasuk menyediakan khemah di tapak meletak kereta di hadapan lobi klinik pakar serta menambah baik sistem laluan pesakit mengikut waktu temu janji yang ditetapkan supaya tidak berlaku kesesakan.
"Hospital Selayang juga akan memulakan perkhidmatan bilik ambil darah di luar klinik pakar lebih awal dari waktu yang dirancang sebab ia dapat mengurangkan bilangan pesakit daripada berbaris di laluan yang sama ke klinik pakar.
"Hospital juga akan mewujudkan sistem serahan surat rujukan yang dapat mengurangkan lagi bilangan pesakit yang perlu berbaris di laluan ke klinik pakar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Sakinah memaklumkan dalam pelaksanaan inisiatif itu, pihak Hospital Selayang akan sentiasa memastikan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).
Mengulas lanjut, Dr Sakinah berkata memandangkan Hospital Sungai Buloh kini merupakan Hospital Utama COVID-19 serta Hospital Kuala Lumpur dijadikan hospital hybrid bagi merawat pesakit COVID-19, Hospital Selayang perlu membantu supaya kesinambungan rawatan pesakit hospital itu tidak terjejas.
"Pada masa yang sama, Hospital Selayang terus memberikan perkhidmatan rawatan bagi pesakit sedia ada.
"Oleh itu, pertambahan bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Selayang pada masa ini tidak dapat dielakkan," katanya.
-- BERNAMA
#Hospital Selayang
#Dr Sakinah Alwi
#COVID-19
#hospital hybrid
#klinik pakar
#Dr Noor Hisham Abdullah
#beratur panjang