Hospital Segamat nafi keluar hebahan penutup mulut dan hidung tidak diiktiraf KKM

Bernama
April 6, 2020 12:33 MYT
Kenyataan yang mendakwa penutup mulut dan hidung yang diberikan percuma oleh individu dan persatuan adalah berbahaya, adalah tidak benar sama sekali.
Hospital Segamat hari ini menafikan ada mengeluarkan hebahan mengenai penutup mulut dan hidung yang tidak diiktiraf kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengarah Hospital Segamat Dr Azhar Mohd Sali berkata kenyataan yang mendakwa penutup mulut dan hidung yang diberikan percuma oleh individu dan persatuan adalah berbahaya, adalah tidak benar sama sekali.
"Masyarakat diminta tidak menularkan sebarang berita tidak sahih agar tidak mencetuskan kebimbangan atau kekeliruan dalam kalangan masyarakat," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Johor di sini, hari ini.
Terdahulu, mesej berangkai yang tular dalam aplikasi Whatsapp mendakwa petugas KKM Segamat telah menasihati orang ramai supaya jangan mengambil penutup mulut dan hidung yang diberikan percuma kerana dikhuatiri tidak diiktiraf kerajaan dan KKM.
Ia turut mendakwa, penutup mulut dan hidung berkenaan adalah berbahaya untuk kesihatan.
-- BERNAMA
#coronavirus #COVID-19 #Facebook #Hospital #Hospital Segamat #Kementerian Kesihatan #kesihatan #KKM #Malaysia #topeng muka
;