Hospital Putrajaya buat persiapan rapi, siap sedia bantuan perubatan
Bernama
Ogos 29, 2024 04:15 MYT
Ogos 29, 2024 04:15 MYT
PUTRAJAYA: Hospital Putrajaya sudah membuat persiapan rapi bagi menyediakan khidmat pasukan perubatan komprehensif dalam menangani sebarang situasi kecemasan perubatan menjelang kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2024 di sini Sabtu ini, yang menyerlahkan komitmennya memastikan keselamatan peserta dan pelawat terpelihara.
Pakar perubatan kecemasan Dr Kalyani Rajuendran ketika ditemui Bernama pada sesi raptai sambutan itu di sini semalam berkata pasukan perubatan dengan kekuatan 250 petugas telah disediakan bagi tujuan itu, dengan petugasnya termasuk daripada beberapa hospital di Lembah Klang.
"Sejak dua bulan lepas, persiapan rapi telah dijalankan bagi memastikan semua yang terlibat sudah bersiap sedia menghadapi apa jua keadaan pada hari kemuncak sambutan itu nanti, dan juga hari menjelang ketibaan sambutan.
"Kita jangka mungkin nanti ada kes-kes yang memerlukan rawatan segera seperti pengsan, dan strok haba. Sehubungan itu kita telah siapkan 14 pangkalan di serata tempat di lapangan sekitar tapak acara sambutan, tiap satu dilengkapi dengan pasukan bergerak untuk memberikan bantuan kecemasan pantas," katanya.
Dr Kalyani berkata semasa raptai tiga hari yang bermula Selasa lepas, pasukan perubatan sudah pun menerima pesakit, dengan jumlahnya terus bertambah semakin hari.
"Pada hari-hari biasa pasukan kita akan menangani kira-kira 10 kes, tapi hari ini jumlahnya lebih tinggi disebabkan kehadiran ramai pelawat ke sini untuk raptai penuh, jadi bagi kecederaan ringan, rawatan segera boleh didapati di pangkalan perubatan, manakala bagi kes-kes serius pesakit akan dibawa ke hospital paling hampir.
Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya banyakkan minum air semasa mengambil bahagian dalam acara kemuncak sambutan nanti, di samping pakai topi bagi menangani cuaca panas.
Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan nanti akan melibatkan 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 pasukan pancaragam, 534 aset Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, di samping 100 haiwan daripada pelbagai pasukan petugas.
Kira-kira 200,000 pelawat dan tetamu undangan dijangka memenuhi tapak sambutan pada hari berkenaan bagi memeriahkan acara.
Merujuk pada laman web met.gov.my, cuaca pada hari Sabtu di Putrajaya diramalkan cerah tanpa hujan dengan jangkaan suhu minimum 25 celcius dan maksimum 33 celcium.
-- BERNAMA