Hospital Pasir Gudang dijangka beroperasi April 2025

Bernama
Jun 13, 2024 21:15 MYT
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan meninjau kemajuan hasil kerja tapak projek pembinaan Hospital Pasir Gudang di Bandar Seri Alam, Masai hari ini. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Hospital Pasir Gudang yang sedang dibina dijangka dapat beroperasi sepenuhnya lebih awal iaitu pada April tahun depan.

Ringkasan AI
  • Hospital Pasir Gudang dijangka beroperasi penuh pada April tahun depan, lebih awal daripada jadual asal.
  • Pembinaan telah mencapai 83.55% siap, didorong oleh penggunaan teknologi IBM dan IBS serta komitmen pasukan projek.
  • Hospital ini bernilai RM375.7 juta, dengan kapasiti 304 katil, 14 perkhidmatan pakar, dan pelbagai fasiliti lain, membantu mengurangkan kesesakan di HSA dan HSI.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata setakat ini kerja-kerja pembinaan telah mencapai kemajuan fizikal mendahului dua bulan lebih awal iaitu 83.55 peratus berbanding 72.5 peratus daripada jadual asal.
"Projek ini sepatutnya dijangka siap pada Mei 2025, tetapi ia akan siap pada Mac iaitu dua bulan lebih awal.
"Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor Dr Mohtar Pungut@Ahmad, beliau menyatakan bahawa mengikut perancangan, apabila siap pada Mac, sebulan selepas itu ia dijangka dapat beroperasi," katanya pada sidang media selepas melawat tapak projek pembinaan hospital itu di sini hari ini.
Turut hadir Dr Mohtar, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Jaya Liow Chai Tung.
Ahmad berkata antara faktor kepantasan pelaksanaan projek itu disumbang daripada penggunaan pemodelan maklumat bangunan (IBM) dan sistem binaan berindustri (IBS) dalam aspek perancangan dan pelaksanaan.
"Selain itu, ia turut disumbang menerusi komitmen dan persefahaman tinggi yang ditunjukkan oleh pasukan kontraktor dan pasukan projek," katanya.
Beliau berkata projek bernilai RM375.7 juta itu melibatkan enam skop kerja iaitu membina sebuah hospital bertaraf hospital pakar, kuarters kelas G, asrama jururawat, bangunan mekanikal dan elektrik, bangunan sokongan serta kerja-kerja infrastruktur.
Menurut Ahmad hospital dibangunkan di Bandar Seri Alam, Masai di kawasan berkeluasan 20.6 hektar itu antaranya dilengkapi dengan fasiliti 304 katil, 14 perkhidmatan pakar, lapan bilik pembedahan, 65 bilik konsultasi rawatan pesakit luar, rumah mayat, farmasi pandu lalu dan lebih 1,000 ruang parkir.
Ahmad berkata hospital itu yang berjarak 19 kilometer (km) dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan 12 km dari Hospital Sultan Ismail (HSI) dapat meningkatkan kapasiti bagi mengurangkan kesesakan pesakit di kedua-dua hospital kerajaan itu.
-- BERNAMA
#hospital Pasir Gudang #beroperasi sepenuhnya #April #Kementerian Kerja Raya #Ahmad Maslan
;