Hospital Pantai Sungai Petani lakukan Terapi Wap Air Rezum pertama di Malaysia, rawat BPH

Bernama
November 4, 2021 04:26 MYT
Hospital Pantai Sungai Petani menjadi hospital swasta pertama di Malaysia yang menyediakan opsyen baharu bagi merawat BPH atau pembesaran prostat, iaitu Terapi Wap Air Rezum (Rezum). -Bernama
ALOR SETAR: Hospital Pantai Sungai Petani menjadi hospital swasta pertama di Malaysia yang menyediakan opsyen baharu bagi merawat penyakit hiperplasia prostat benignia (BPH) atau pembesaran prostat, iaitu Terapi Wap Air Rezum (Rezum), sejenis prosedur minimum invasif.
Perunding pakar urologi hospital tersebut Datuk Dr Zainal Azim Abd Kadir berkata pesakit lelaki yang menghidap BPH kini mempunyai alternatif untuk menangani kondisi mereka menerusi prosedur tersebut yang pantas iaitu dalam masa 10 minit sahaja dan tanpa rasa sakit.
"Rawatan ini adalah alternatif kepada pembedahan. Rezum adalah prosedur minimum invasif untuk lelaki yang mahu merawat simptom BPH mereka.
"Ia menggunakan wap air panas untuk mengecutkan saiz prostat dan memberi kelegaan berpanjangan kepada simptom BPH, tanpa perlu melalui pembedahan invasif atau kesan sampingan ubat," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Dr Zainal Azim berkata wap air ditujukan ke tisu prostat yang bengkak dan apabila wap tersebut menyentuh tisu berkenaan dan kembali menjadi air, tenaga simpanannya dilepaskan justeru membunuh tisu lebihan prostat, menyebabkan pengecutan dan meluaskan pembukaan uretra.
"Ini melancarkan aliran air kencing secara progresif.
"Prosedur itu merawat punca kepada BPH. Pesakit boleh kembali mendapatkan tidur berkualiti tanpa perlu kerap ke bilik air (pada waktu malam) dan menikmati kehidupan tanpa diganggu simptom BPH," katanya.
Penyakit BPH adalah pembesaran kelenjar prostat bukan kanser yang melibatkan kira-kira separuh populasi lelaki berusia 60 tahun dan ke atas.
Kondisi penyakit ini membabitkan prostat membengkak dan mengecutkan uretra, mengakibatkan simptom seperti kekerapan membuang air kecil, rasa hendak membuang air kecil, aliran air kencing lemah atau terganggu, terpaksa bangun beberapa kali pada waktu malam untuk membuang air kecil dan tidak boleh membuang air kecil.
Sementara itu dalam kenyataan sama, seorang pesakit yang baharu sahaja menjalani rawatan Rezum, Mohd Radzi, 60, berkata dalam beberapa minggu sahaja, beliau sudah boleh membuang air kecil dengan lebih selesa berbanding sebelum ini.
"Rawatan ini benar-benar mengubah persepsi saya. Sebelum ini saya menganggap keadaan saya adalah kerana peningkatan usia dan tiada apa yang boleh dilakukan untuk mengubatinya.
"Rawatan ini benar-benar memberi impak pada kehidupan saya dan saya berasa sangat lega selepas prosedur," katanya yang menghidap BPH selama 10 tahun.
-- BERNAMA
#Hospital Pantai Sungai Petani #hiperplasia prostat benignia #Dr Zainal Azim Abd Kadir #Terapi Wap Air Rezum
;