Hospital negara ada peralatan lengkap rawat COVID-19 - Tun Mahathir

Astro Awani
April 17, 2020 15:15 MYT
Dr Mahathir berkata, teknologi hari ini memberi ruang untuk semua berhubung sesama keluarga walaupun berjauhan. - Gambar Astro AWANI
Hospital negara ini mempunyai peralatan yang lengkap untuk menjalankan rawatan COVID-19.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia sekali gus menunjukkan keupayaan negara dalam usaha mencari vaksin untuk menangani pandemik berkenaan.
"Tetapi kita bernasib baik kerana ada banyak peralatan berbanding orang lain. Kalau kita rasa tidak sihat, boleh cepat-cepat ke hospital untuk selamatkan diri dan orang lain.
"Kita juga bernasib baik kerana mempunyai sistem pengangkutan yang mudah. Jadi komunikasi dan pengangkutan boleh membantu memeriksa lebih awal mana-mana oang yang mungkin mmendapat penyakit ini," katanya semasa sesi temubual di Facebook bersama Pakar Perunding Perubatan dan Respiratori di Pusat Perubatan Sunway Velocity Dr. Nurul Yaqeen Mohd Esa hari ini.
Dr Mahathir turut memuji keupayaan negara sebagai antara pengeluar terbesar topeng muka dan sarung tangan dunia.
Dalam pada itu jelasnya, teknologi hari ini memberi ruang untuk semua berhubung sesama keluarga walaupun berjauhan.
Ketika mengulas isu kepatuhan rakyat di China dan Korea terhadap pendekatan COVID-19, Dr Mahathir mengakui disiplin rakyat di kedua-dua negara itu berbeza dengan di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Tegasnya, itu antara asas negara berkenaan berjaya menangani masalah itu dengan lebih berjaya.
#Amerika Syarikat #AS #COVID-19 #Facebook #Hospital
;