Hospital Melaka siasat dakwaan tangan bayi bengkak, bernanah ketika terima rawatan

Shuhada Abdul Kadir
Julai 18, 2023 09:40 MYT
Menerusi hantaran yang tular di media sosial, Mohamad Izwan mendakwa anak saudaranya sudah 11 hari berada di wad hospital dan bahagian tangan yang dimasukkan jarum masih membengkak. - Foto ihsan orang awam
MELAKA TENGAH: Hospital Melaka diarah menyiasat dakwaan seorang lelaki berhubung kejadian tangan seorang bayi berusia dua bulan yang mengalami bengkak dan bernanah ketika menerima rawatan demam campak di hospital berkenaan.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada pihak hospital untuk memulakan siasatan secepat mungkin.
“Saya ada baca di media sosial, yang mana seorang individu bernama Mohamad Izwan mendakwa berlaku kecuaian oleh kakitangan Hospital Melaka ketika memberikan rawatan.
“Sebagai Exco, saya telah mengarahkan Pengarah Hospital Melaka buat siasatan tentang perkara ini,” katanya ketika dihubungi.
Beliau terdahulu mengulas hantaran tular di media sosial semalam yang mempersoalkan tindakan doktor hospital sehingga tangan bayi berusia dua bulan itu membengkak sehingga bernanah.
Menerusi hantaran berkenaan, Mohamad Izwan mendakwa sudah 11 hari anak saudaranya berada di wad hospital dan bahagian tangan yang dimasukkan jarum masih membengkak.
#Hospital Melaka #demam campak #siasatan #tangan bayi bengkak dan bernanah
;