Hospital medan Pulau Pinang mula beroperasi hujung minggu ini
Ridauddin Daud
September 13, 2021 16:47 MYT
September 13, 2021 16:47 MYT
KUALA LUMPUR: Hospital medan yang akan didirikan di pekarangan parkir kakitangan di Hospital Pulau Pinang dijangka mula beroperasi hujung minggu ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebanyak 100 unit katil bagi pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5 disediakan di situ.
Menurut beliau, empat buah katil Unit Rawatan Rapi (ICU) turut ditempatkan di Hospital Pulau Pinang dengan kira-kira 50 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut ditempatkan di situ.
“Keperluan selebihnya adalah dari Hospital Pulau Pinang. Saya baru dapat laporan tadi, proses atur gerak ke hospital medan Pulau Pinang akan dijalankan pada Rabu ini dan dijangka beropeasi sepenuhnya bermula hujung minggu ini.
“Apa yang diumumkan minggu lepas, berhubung kait dengan hospital medan, berhubung kait dengan ‘drive thru’ vaksin dan usaha untuk melihat kawasan pedalaman, gunakan aset dan logistik ATM bukan retorik tapi sedang dilaksanakan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Wisma Pertahanan di sini pada Isnin.
Astro AWANI pada Sabtu melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mendirikan hospital medan di perkarangan Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi menampung jumlah pesakit COVID-19 di negeri itu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia susulan jumlah kes COVID-19 yang semakin meningkat di negeri itu disamping memberikan perkhidmatan sokongan kesihatan di hospital berkenaan.
Katanya, pembinaan hospital medan yang lengkap dengan 100 katil dan kemudahan oksigen untuk pesakit COVID-19 dijangka siap dalam tempoh seminggu.