Hospital medan ATM beroperasi dua minggu di HSA mulai Isnin
Bernama
Oktober 29, 2016 07:45 MYT
Oktober 29, 2016 07:45 MYT
Hospital medan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan ditempatkan selama dua minggu di perkarangan Hospital Sultanan Aminah (HSA) bagi membantu melancarkan operasi hospital berkenaan.
Lima unit hospital medan atau modul hospital hadapan itu akan mula beroperasi pada Isnin bermula 8 pagi dan dibuka 24 jam, di kawasan bangunan induk HSA.
Pusat rawatan sementara itu menyediakan wad, dewan pembedahan bergerak, unit perkhidmatan pensterilan atau dekontaminasi (Unit Sucihama), perkhidmatan x-ray dan pergigian.
Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM Lt Jen Datuk Dr Abd Razak Md Yusuff berkata kesemua lima unit modul akan digabungkan dan membentuk hospital medan berkeluasan 244 meter persegi.
"Ia berkeupayaan merawat antara 50 dan 70 pesakit serta menjalankan lima hingga enam pembedahan resusitasi," katanya ketika ditemui pemberita di sini Sabtu.
Katanya, kemudahan hospital medan terbukti boleh melaksanakan tugas-tugas tersebut kerana ia telah beroperasi dan digunakan sejak 1993.
Dr Abd Razak berkata meskipun telah digunakan selama 23 tahun, peralatan modul itu masih boleh diguna pakai kerana penyelengaraan sentiasa dilakukan.
Menurutnya lagi, ini merupakan sumbangan ATM kepada Kementerian Kesihatan bagi meringankan beban HSA susulan kejadian kebakaran pada 25 Okt yang mengorbankan enam nyawa.
"Kami tidak memiliki sebarang masalah jika tempoh dua minggu disambung sehingga sebulan sekiranya diperlukan sehingga keperluan asas yang terdapat di wad bangunan induk HSA seperti dewan pembedahan dan unit kecemasan dipulihkan," katanya.
Tambahnya, hospital medan itu pernah digunakan di Namibia, selama enam tahun, Somalia (lima tahun) dan kejadian banjir di Kuala Krai, Kelantan, pada hujung 2014.
"Kita juga pernah menggunakan hospital medan ini di peringkat antarabangsa ketika latihan tentera bersama Brunei dan Thailand selama dua minggu dan tidak mempunyai sebarang masalah," kata Abd Razak.
Mengenai jumlah kakitangan yang terlibat dalam operasi berkenaan, beliau berkata perkara itu akan dibincangkankan dengan HSA setelah pemasangan hospital medan itu siap.
"Dari segi tenaga kerja, kita benarkan kakitangan hospital seperti doktor pakar dan jururawat melaksanakan rawatan dan bagi kakitangan ATM, kita mungkin akan tempatkan 20 hingga 30 pegawai bagi tujuan penyelenggaraan dan keselamatan hospital medan ini," katanya.
Menurutnya, kali terakhir hospital itu digunakan adalah dua minggu lalu di hospital Kluang bagi latihan perubatan. -- BERNAMA