Hospital Kusta, wad bersalin HKL tempatkan PATI positif COVID-19

Astro Awani
Mei 26, 2020 15:05 MYT
Kerajaan turut memutuskan saringan COVID-19 melalui kaedah swab test dilakukan ke atas semua PATI di Depot Imigresen KLIA, Bukit Jalil dan Semenyih. Gambar fail
Kerajaan mengenal pasti dua lagi hospital yang akan dikhaskan untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) positif COVID-19, ujar Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Hospital terbabit ialah Hospital Kusta, Sungai Buloh dan Bangunan Wad Bersalin Lama, Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Selain Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), kerajaan juga telah mengenal pasti dua lagi hospital yang akan dikhaskan untuk PATI yang didapati positif, iaitu Hospital Kusta, Sungai Buloh dan Bangunan Wad Bersalin Lama, HKL.
"Kesemua pusat rawatan ini dijangka mampu menampung 1,430 pesakit," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.
Keputusan itu dibuat selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Pengurusan Pendatang Tanpa Izin (PATI).
BACA: MAEPS jadi pusat kuarantin khusus untuk PATI dari depoh tahanan imigresen
Mesyuarat itu turut memutuskan saringan COVID-19 melalui kaedah swab test dilakukan ke atas semua PATI di Depot Imigresen KLIA, Bukit Jalil dan Semenyih.
Selain itu, PATI yang negatif COVID-19 akan dihantar pulang ke negara masing-masing.
"Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) telah diminta untuk berbincang dengan rakan sejawat dan kedutaan negara terlibat bagi urusan menerima pulang rakyat masing-masing," ujarnya.
#Bukit Jalil #Hospital #Imigresen #ismail sabri yaakob #kerajaan #KLIA #Kuala Lumpur #Media #pati #rakyat #Semenyih #Wisma Putra
;