Hospital Klang: Menteri Kesihatan buat lawatan mengejut, mahu tangani isu pesakit tunggu lama

Sinar Harian
Disember 29, 2022 23:12 MYT
Dr Zaliha berkata, pihaknya memberi perhatian terhadap isu menunggu yang lama di jabatan kecemasan hospital tersebut. - Gambar/ FB Dr Zaliha Mustafa
SHAH ALAM : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkukuh segala inisiatif yang telah dilaksanakan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang sebelum ini bagi keselesaan pesakit.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau mengambil maklum perkara tersebut susulan satu sesi lawatan mengejut dilakukannya pada Rabu.
“Antara inisiatif HTAR adalah menyediakan wad bagi pesakit stabil yang dijangka pulang selepas dua atau tiga hari, menggunakan teknologi digital bagi menguruskan penggunaan katil serta berkomunikasi antara kakitangan hospital dan kakitangan di klinik kesihatan,” ciap beliau di Twitter pada Khamis.
Dr Zaliha pada masa yang sama menambah, pihaknya turut memberi perhatian terhadap isu menunggu yang lama di jabatan kecemasan hospital tersebut.
“Rata-rata pesakit yang ditemui memberitahu perlu ada penambahbaikan waktu menunggu.
“Ketika sesi lawatan mengejut itu juga, saya turut mendengar cadangan daripada petugas-petugas kesihatan Jabatan Kesihatan HTAR bagi menambah baik perkhidmatan kesihatan dan menzahirkan keprihatinannya terhadap isu yang dibangkitkan.
“Segala maklum balas yang diterima telah dibawa ke mesyuarat bersama pasukan di KKM bagi menambah baik masa menunggu di jabatan kecemasan,” ujarnya. - Sinar Harian
#Menteri Kesihatan #Dr Zaliha Mustafa #lawatan mengejut #HTAR
;