Hospital Dungun yang terbengkalai dijangka beroperasi awal tahun 2024

Umavathi Ramayah
Ogos 6, 2023 13:34 MYT
DR ZALIHA: Insya-Allah tinggal satu peratus sahaja dan kita jangkakan akan siap akhir tahun ini, dan akan mula beroperasi awal tahun depan. -Foto fail/BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Hospital Dungun yang terbengkalai sejak tahun lalu dijangka mula beroperasi awal tahun depan, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Beliau memberitahu, projek yang sepatutnya siap pada Mac tahun lalu itu sudah siap 99 peratus.
"Ya, kita sedia maklum apa masalahnya. Insya-Allah tinggal satu peratus sahaja dan kita jangkakan akan siap akhir tahun ini, dan akan mula beroperasi awal tahun depan," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Manir, di sini, pada Ahad.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kontraktor projek tersebut terpaksa ditamatkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 14 Julai ketika kemajuan kerja fizikal hampir siap 99.86 peratus.
Ia ekoran pihak kontraktor gagal menyelesaikan proses terakhir iaitu testing dan commissioning (T&C) dan memohon untuk menarik diri.
KKM turut memaklumkan JKR telah melakukan pelbagai usaha bagi memastikan kontraktor dapat menyelesaikan baki kerja namun masih gagal.
Hospital Dungun yang diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4), Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) itu melibatkan kapasiti 110 katil dan empat dewan bedah.
#Jabatan Kerja Raya #Hospital Dungun #terbengkalai #Zaliha Mustafa #KKM
;