Hospital, beberapa kampung di Baling dilanda banjir, dua PPS dibuka
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 2, 2022 23:57 MYT
Ogos 2, 2022 23:57 MYT
BALING: Hujan lebat tanpa henti lebih dua jam petang tadi mengakibatkan beberapa kampung dan sebuah hospital di Baling dilanda banjir kilat.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat, berkata antara kampung yang terjejas adalah Kampung Batu Tujuh Rambong, Charok Juan, Telok Sanau dan Bendang Sera di mukim Baling.
Beliau berkata, hujan lebat itu menyebabkan aliran air dari Gunung Inas meningkat.
"Air di Sungai Charok Juan meningkat dan mengalir deras serta melimpah ke penempatan penduduk yang tinggal berhampiran sungai.
“Pemantauan dilakukan polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Dalam pada itu, beberapa kawasan di dalam Hospital Baling turut naiki air namun tidak menjejaskan wad dan kemudahan rawatan pesakit.
Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, limpahan sungai mengakibatkan air masuk ke dalam kawasan hospital pada jam 8.30 malam.
“Air memasuki beberapa unit kuarters, bilik persalinan dan taska namun tiada kemalangan serta tiada pesakit yang dipindahkan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelas Dr Othman setakat jam 10 malam air kembali surut dan kerja pembersihan mula dijalankan malam ini dan pagi esok.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Pertahanan Awam daerah Baling, Lefternan (PA) Mohd Dzulhaidy Khalil berkata, dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Habsah dan Dewan Tun Abdul Razak bermula jam 9.30 malam.
Sehingga jam 11 malam, seramai 37 mangsa membabitkan lapan keluarga dipindahkan ke PPS, dengan 20 orang ditempatkan di PPS SK Tungku Habsah dan 17 lagi (PPS Dewan Kenangan Tun Abd Razak).