Hospital Bachok dijangka beroperasi November

Bernama
Oktober 11, 2024 04:50 MYT
Hospital Bachok, dibina atas tanah seluas 20.3 hektar, diserahkan Jabatan Kerja Raya kepada Kementerian Kesihatan pada Ogos lepas. -- fotoBERNAMA
BACHOK: Hospital Bachok yang dijangka mula beroperasi bulan depan akan membolehkan lebih 100,000 penduduk menikmati kemudahan kesihatan di sekitar daerah itu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Husin berkata dengan adanya Hospital Bachok, ia mampu mengurangkan jumlah pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu dan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.
Beliau berkata Hospital Bachok akan menjadi rujukan kepada pesakit, malah penduduk sekitar juga tidak lagi perlu bergerak jauh bagi mendapat perkhidmatan kesihatan dan perubatan diperlukan.
"Hospital Bachok ini akan beroperasi bermula November depan dan ia diharap akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk, tetapi juga petugas-petugas kesihatan di hospital ini.
"...dengan siapnya Hospital Bachok, ia selaras dengan tema Rancangan Malaysia ke-12 iaitu memperkemas perkhidmatan penjagaan kesihatan positif yang tidak mencukupi," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok di sini semalam.
Beliau berkata projek membina dan menyiapkan baki kerja cadangan Hospital Bachok melibatkan 76 katil yang mengandungi blok hospital tiga tingkat.
"Terdapat dua bilik pembedahan, klinik-klinik pakar, tiga wad untuk pesakit lelaki, perempuan, ibu serta anak, selain adanya dewan bersalin, forensik, makmal, ruang dialisis, kecemasan, pengimejan, ruang sokongan, perubatan dan unit pentadbiran serta latihan," katanya.
-- BERNAMA
#Hospital Bachok #hospital di Kelantan #Zaini Husin #kemudahan kesihatan
;