Hospital Bachok dijangka beroperasi awal 2024

Bernama
Ogos 10, 2023 13:21 MYT
Dr Zaini berkata kerja pembinaan hospital di atas tapak seluas 20.3 hektar itu kini mencapai 97.2 peratus. - Gambar fail
BACHOK: Hospital Bachok yang akan beroperasi sepenuhnya awal tahun depan dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 160,000 penduduk di jajahan itu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata kerja pembinaan hospital di atas tapak seluas 20.3 hektar itu kini mencapai 97.2 peratus.
"Daripada maklumat yang kita peroleh, pembinaan keseluruhan bangunan akan disiapkan Oktober ini mengikut jadual asal.
"Selepas proses akhir siap termasuk kelengkapan katil pesakit dan perabot, hospital ini akan beroperasi selewat-lewatnya Januari 2024," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau ditemui selepas melakukan lawatan ke tapak pembinaan Hospital Bachok di Jelawat, di sini, yang turut dihadiri Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM) Jasri Kasim.
Zaini berkata dengan adanya hospital itu kelak, penduduk dari daerah-daerah sekitar Bachok dijangka dapat menikmati kemudahan kesihatan berkenaan selain mampu mengurangkan jumlah pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Katanya, bangunan hospital tiga tingkat itu bakal dilengkapi 76 katil pesakit dengan pelbagai perkhidmatan rawatan termasuk pediatrik dan onkologi.
"Kemudahan hospital ini dibina di kawasan yang tidak sibuk dengan lebih 200 lot parkir, akan memberi kemudahan kepada penduduk Bachok sekali gus menjadikan semua 10 jajahan di negeri ini memiliki hospital masing-masing.
"Hospital ini tanda kerajaan cakna dalam menyediakan kemudahan kesihatan lebih selesa kepada rakyat sekali gus merealisasikan hasrat penduduk jajahan Bachok untuk memiliki kemudahan hospital yang lebih dekat," katanya.
Sementara itu, Jasri berkata Kelantan menerima peruntukan untuk sektor kesihatan berjumlah RM30.94 juta bagi 2023.
Ia merangkumi 44 projek termasuk pembinaan dua buah hospital iaitu pembinaan blok tambahan Hospital Tanah Merah dan pembinaan Hospital Bachok selain RM700,000 untuk penyelenggaraan kuarters lima buah hospital di Kelantan.
Jasri berkata dengan terbinanya Hospital Bachok diharap mampu menjadi pemangkin menjana ekonomi penduduk tempatan dalam pelbagai sektor perniagaan.
-- BERNAMA
#Hospital Bachok #Kelantan #KKM #Dr Zaini Husin
;