Hospital antara kawasan diberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah kesalinghubungan - Fahmi
Bernama
Oktober 26, 2024 14:51 MYT
Oktober 26, 2024 14:51 MYT
KUALA LUMPUR: Hospital akan menjadi satu daripada tujuh kawasan yang diberikan keutamaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam usaha menyelesaikan masalah kesalinghubungan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ini disebabkan masih terdapat hospital kerajaan yang berdepan dengan masalah liputan dalam bangunan untuk kegunaan telefon bimbit serta ketiadaan penyediaan prasana teknologi 5G yang sesuai dengan penggunaan aplikasi perubatan.
"Contohnya, di kawasan saya seperti Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), terdapat sesetengah blok atau tingkat, dan mungkin juga wad, menghadapi masalah Internet. Begitu juga di Hospital Serdang, oleh itu kita perlu selesaikan masalah asas ini.
"Selain itu, kita ingin memastikan penyediaan prasarana 5G di hospital bagi membolehkan penggunaan aplikasi (perubatan)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Pengumuman Kolaboratif Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends sempena Persidangan MIH Megatrends 2024 di sini hari ini.
Justeru, beliau menyifatkan keberadaan MCMC dan kementerian dalam persidangan tersebut adalah bertepatan pada masanya kerana mengetengahkan kepentingan kesalinghubungan dalam sektor kesihatan terutamanya untuk beberapa aplikasi.
"Kita lihat di MIH Megatrends ini, terdapat sesetengah aplikasi memanfaatkan Holo Lens, yang membolehkan doktor-doktor pakar mengkaji cara terbaik untuk menyelesaikan masalah kesihatan atau perubatan menerusi saringan atau imej yang telah dikumpulkan seperti MRI dan sebagainya.
"Kita juga ada melihat beberapa syarikat seperti TM One, yang mula memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk membantu hospital melakukan persiapan dalam proses pengesahan janji temu. Ini sangat baru dan belum dilaksana secara meluas G," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak hospital sama ada awam atau swasta akan meneliti dan memanfaatkan aplikasi dan teknologi yang boleh digunakan dengan kelajuan 5G.
Selain itu, Fahmi memaklumkan bahawa rangkaian 5G Malaysia juga telah menunjukkan prestasi yang cemerlang secara konsisten, dengan kelajuan muat turun median 5G negara mencapai 451.79Mbps, lebih pantas daripada Singapura, Thailand dan Filipina.
Menurutnya, selain itu, rangkaian 5G Malaysia mencapai skor konsistensi tertinggi di peringkat global untuk suku keempat 2023 (4Q2023) iaitu pada 97.3 peratus.
"Kelajuan muat turun median 5G juga meningkat dengan ketara sebanyak 20 peratus dalam 3Q23 (suku ketiga 2023), dengan mencapai 203.04Mbps berbanding 168.27Mbps pada 3Q22 (suku ketiga tahun 2022)," katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa serta Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
-- BERNAMA