HoSHAS pecah rekod lakukan 120 pembedahan katarak dalam tempoh 4 hari
Azee Shafy
Ogos 24, 2022 14:40 MYT
Ogos 24, 2022 14:40 MYT
TEMERLOH: Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) sekali lagi melakar sejarah dan memecahkan rekod dengan melakukan pembedahan katarak mata terbesar dalam negara ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, sebanyak 120 pembedahan katarak dilaksanakan melibatkan 100 peratus tenaga dalaman hospital berkenaan bermula 22 hingga 25 Ogos, tahun ini.
"Seramai enam pakar oftalmologi, sembilan pegawai perubatan dan lebih daripada 40 kakitangan sokongan terlibat dalam Karnival Katarak HoSHAS ini dalam masa empat hari sahaja.
"Malah, hari ini, HoSHAS juga mencatat sejarah apabila berjaya melakukan pembedahan katarak mata yang ke 1,000," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Katarak HoSHAS, di Temerloh, hari ini.
Hadir sama, Pengarah HoSHAS, Dr. Nor Azlina Abdul Aziz.
Katanya, sehingga Julai 2022, jumlah pembedahan katarak tertunggak (backlog) adalah sebanyak 411 orang pesakit dan mereka terpaksa menunggu sehingga empat bulan untuk pembedahan
Bagaimanapun, Dr. Nor Azimi memberitahu, menerusi karnival ini, tempoh menunggu tarikh pembedahan pesakit hanya antara empat hingga enam minggu sahaja.
"Kita menjangkakan, menjelang penghujung tahun ini, sebanyak 1,500 pembedahan katarak dapat dilaksanakan di HoSHAS ini.
"Karnival ini secara tidak langsung telah memberi manfaat kepada pesakit-pesakit dari lapan buah daerah dalam negeri ini membabitkan daerah Temerloh, Maran, Jerantut, Maran, Bera, Bentong, Raub dan Kuala Lipis," ujarnya.
Sebelum ini, Karnival Katarak HoSHAS mencatatkan rekod dengan 108 pesakit menjalani pembedahan secara besar-besar pada tahun 2019.
Karnival ini melibatkan pesakit berumur 60 tahun ke atas yang majoritinya adalah daripada golongan berpendapatan rendah.
Menurut beliau, seramai 32 pesakit dalam golongan B40 serta asnaf telah menerima kanta intraokular secara percuma di bawah Skim Peduli Kesihatan B40 selain sumbangan dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Negeri Pahang (Muip) melalui program ini.
Dalam perkembangan lain, pihak HoSHAS memaklumkan karnival ini akan dilaksanakan dua kali setahun bermula tahun 2023 bagi mengurangkan jumlah pesakit di samping mempercepatkan tempoh menunggu pembedahan katarak ini.
Sementara itu, seorang pesakit, Alias Asri, 70 dari Felda Jengka 20 berkata, namanya tersenarai menjalani pembedahan katarak pada mata kanannya menerusi karnival itu, selepas pembedahan katarak di mata kiri berjaya dilaksanakan pada tiga tahun lalu.
"Kalau dekat memang boleh nampak, cuma kalau benda jauh kabur. Hari ni, dapat peluang untuk bedah mata kanan pula. Harapnya, pakcik dapat lihat dengan lebih jelas selepas ni," katanya.
Seorang lagi pesakit, Siti Fatimah Hussain, 79 berkata, pembedahan katarak di mata kirinya berjaya dijalankan hari ini selepas hampir enam bulan menunggu tarikh yang sesuai.
"Alhamdulillah, hari ini nama makcik tersenarai dalam senarai pembedahan. Lama juga makcik tunggu giliran.
"Makcik harap, bagi pembedahan katarak di mata kanan dapat dipercepatkan," katanya.
Dia yang berasal dari Felda Rentam, Bera berterima kasih kepada pihak HoSHAS selepas dimaklumkan tarikh pembedahan katarak pada mata kanannya akan dilaksanakan selepas tempoh dua minggu bergantung kepada tahap kesihatannya yang kini sedang mengidap kencing manis.