Hormati peraturan, tiada tauliah jangan beri ceramah - Ustaz Kazim
Sinar Harian
September 15, 2023 15:12 MYT
September 15, 2023 15:12 MYT
IPOH: Penceramah agama perlu akur dan menghormati arahan pihak berkuasa negeri berhubung kebenaran berceramah dan mendapatkan pentauliahan.
Pendakwah terkemuka, Datuk Mohammad Kazim Elias berkata, perkara itu bukanlah satu isu besar kerana merupakan ketetapan asas yang sudah termaktub dalam peraturan negeri masing-masing.
Beliau yang telah berkecimpung selama 33 tahun sebagai pendakwah mengakui, turut tidak dibenarkan mengadakan ceramah di beberapa negeri dengan alasan tidak mempunyai pentauliah di negeri tersebut.
"Terimalah hakikat bahawa kita ada peraturan dan kita patuh pada peraturan, ibaratnya lesen untuk ceramah adalah pentauliahan, jika tiada tauliah kita diam sahajalah.
"Saya rakyat Perak jika dibenarkan hanya berceramah di Perak, maka di sini sahajalah. Saya tak perlu nak kecil hati kalau tak dibenarkan ceramah di negeri lain, kita pergi ceramah yang benarkan kita ceramah sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima watikah pelantikan sebagai Tokoh Agama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Perak 2023-2025 di Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi dekat sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi Perkim Perak, Datuk Mohd Najmuddin Elias.
Mohammad Kazim turut menyuarakan sokongan terhadap usaha Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang membuat penambahbaikan terhadap garis panduan permohonan penceramah dan pengajar di negeri ini.
Katanya, langkah awal yang dibuat dengan mengeluarkan arahan penangguhan sesi mengajar dan bersyarah oleh semua penceramah agama termasuk dari luar negara bermula Ogos lalu adalah tepat untuk penyusunan semula.
"Sebenarnya arahan seperti ini sudah didahului jabatan agama negeri lain hampir empat tahun lalu, jadi apa yang Perak buat ini bagi saya tiada apa-apa isu pun.
"Cuma kita harap, jabatan agama dan jabatan mufti dapat buat yang terbaik (garis panduan) sebab ada juga negeri yang membuka luas kehadiran penceramah luar selagi mana mereka tidak menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.
Pada 23 Ogos lalu, JAIPk menangguhkan sementara kebenaran mengajar dan bersyarah oleh semua penceramah agama berkuat kuasa serta-merta membabitkan semua masjid, surau diri Jumaat dan surau yang berdaftar dengan jabatan itu.
Penangguhan dilakukan bagi memberi laluan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak membuat penyusunan semula konsep dakwah agar selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Asyairah dan Maturidiah.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian