'Hormati perasaan keluarga, henti tular mengenai Mohd Haziq' - Ibu saudara

Adie Sufian Zulkefli
Mac 19, 2019 23:56 MYT
Zarina Shuib, 53 tahun, berkata ada yang sanggup mengatakan Mohd Haziq turut terkorban dalam serangan berdarah di Masjid Al-Noor itu. - Foto Astro AWANI
Kakak kepada rakyat Malaysia yang cedera di Christchurch, Mohd Tarmizi Shuib, meminta orang ramai agar tidak tularkan mengenai kes kehilangan anak saudaranya Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang masih tidak ditemui sehingga kini.
Zarina Shuib, 53 tahun, berkata ada yang sanggup mengatakan Mohd Haziq turut terkorban dalam serangan berdarah di Masjid Al-Noor, di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lalu, tanpa mengambil kira perasaan anggota keluarga.
Menurut Zarina, adiknya itu sebak ketika menceritakan tentang kehilangan anaknya.
Zarina sempat berbual dengan adik bongsunya yang kini masih dirawat di Hospital Christchurch menerusi panggilan video selama kira-kira 10 minit petang Selasa.
BACA: Mohd Haziq masih belum ditemui
"Haziq yang berumur 17 tahun, buat masa ni memang tak dapat dikesan lagi, tetapi saya minta pihak yang berkenaan jangan lah membuat andaian yang bukan-bukan.
"Takut banyak yang tak betul, kami pun jadi risau. Maklumat tu biar datang dari keluarga sendiri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah, pada Selasa.
Zarina berkata, keadaan adiknya itu belum pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan kedua bagi mengeluarkan peluru di belakang badan, pada petang Isnin.
Menurutnya, dia berasa lega kerana abangnya, Zakaria, 55, dan adiknya, Mariani, 49, serta sepupu, Nordina Ahmad Fauzi, 30, telah tiba di Christchurch untuk menemani Mohd Tarmizi.
Mereka yang dibiayai kerajaan negeri Kedah akan berada di Cristchurch sehingga 25 Mac ini untuk memberikan sokongan kepada adik dan keluarganya serta membantu mencari Haziq.
Menurut Zarina, pelbagai andaian boleh dibuat terhadap kehilangan anak saudaranya itu, tetapi jangan tularkan perkara bukan-bukan sehingga meresahkan keluarga mereka.
"Masa cedera, dia mungkin sempat lari atau sembunyi ke... dia tak mahu menonjolkan diri, mungkin dia trauma. Atau mungkin dia sembunyi, siapa pun tak tahu kan.
"Kalau cedera mungkin orang akan jumpa dia, bawa dia pergi hospital... boleh jadi macam tu juga kan. Apa yang berlaku kat dia, kita tak tahu," katanya lagi.
#Christchurch #Mohd Haziq Mohd Tarmizi #Mohd Tarmizi Shuib #New Zealand #rakyat Malaysia di Christchurch #rakyat Malaysia yang cedera #tembakan rambang di Christchurch #Tragedi Solat Jumaat #Zarina Shuib
;