Hormati pemimpin walaupun bukan beragama Islam - Nik Omar
Nursyazwani Saiful Sham
Mei 26, 2018 20:12 MYT
Mei 26, 2018 20:12 MYT
Islam meraikan kepelbagaian dalam beragama dan pada masa yang sama mengajar umatnya bahawa tiada paksaan untuk menganut serta menghormati agama lain.
Begitu juga dari aspek politik yang memerlukan umat Islam untuk saling menghormati para pemimpin walaupun mereka bukan dari kalangan yang beragama Islam.
Perkara ini ditegaskan penceramah bebas, Nik Omar Nik Abdul Aziz, dalam program khas '100 hari Malaysia Baharu' di Astro AWANI pada Sabtu.
Dalam hal ini, jelas Nik Omar, Pakatan Harapan (PH) berada di landasan untuk memperjuangkan imej Islam di era Malaysia Baharu.
Beliau menarik perhatian dari sudut politik, PH menunjukkan contoh, tidak sependapat dalam hal agama, tidak bermakna mereka tidak boleh bekerjasama.
Sebaliknya kewujudan DAP yang lazim dilabel sebagai anti-Islam dalam gabungan itu, khususnya dengan integriti tinggi yang ditunjukkan membolehkan aspirasi negara dipenuhi menerusi semak dan imbang.
“Dari sudut politik, Pakatan Harapan sebagai sebuah parti gabungan empat parti termasuk DAP walaupun mereka bukan parti yang dikelolakan sepenuhnya oleh umat Islam.
“Bagaimanapun untuk memastikan masalah ketirisan dan rasuah tidak berlaku, dengan adanya gabungan DAP yang mewakili kaum Cina dapat memenuhi aspirasi negara.
“Kita perlu sama-sama patuh kepada perlembagaan asas walaupun DAP merupakan parti bukan Islam tetapi integriti yang mereka lakukan kena pada landasan dan undang-undang, maka itu adalah perkara baik,” jelasnya.
Tambahnya, dalam gabungan PH mereka perlu diberikan hak sama rata dengan mengambil kira kemampuan untuk mereka memimpin mengikut keperluan Islam.
Nik Omar juga berpandangan setakat ini pembahagian tugas dalam kerajaan pusat adalah adil.
“Usaha untuk kita martabatkan Islam itu perlu disokong dan pada masa sama kita perlu beri ruang kepada pandangan dari parti dan agama lain.
“Kita perlu capai kata sepakat dengan berbincang tentang cara terbaik agar agenda pelaksanaan untuk negara pada tahap sempurna.
“Kata sepakat itu adalah pendekatan yang terbaik dan ia dapat meletakkan Islam di tempat yang mulia. Saya berdoa agar PH mampu memenuhi kehendak Islam dan hasrat rakyat Malaysia,” katanya.