Hormati larangan pasang khemah di Port Dickson, elak maksiat - MB

Sinar Harian
Februari 11, 2025 13:30 MYT
Penguatkuasaan dilakukan pegawai MPPD berhubung larangan memasang khemah di pantai Port Dickson. - Foto/ Facebook MPPD
SEREMBAN: Orang ramai diharap dapat menghormati peraturan larangan pemasangan khemah awam di 11 pantai di daerah terbabit.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peraturan itu dibuat bagi mengelakkan perkara yang tidak sepatutnya berlaku seperti isu kebersihan dan maksiat.
"Bagi saya kita sentiasa terbuka (terima pandangan) dan saya harap masyarakat menghormati peraturan yang telah dibuat.
"Kalau tiada peraturan, kita lagi susah. Kalau tiba-tiba esok, ada kes rogol dalam khemah, yang dipersalahkan nanti pihak berkuasa tempatan(PBT) dan Menteri Besar kerana telah bagi kebenaran," katanya ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Baharu Masjid Taman Bukit Kepayang di sini pada malam Isnin.
Menurutnya, pihaknya telah cuba menyelesaikan isu khemah biru yang menjadi rungutan ramai selama ini dengan tidak lagi membenarkan pemasangan khemah di pantai.
Namun apa yang dikesalkan kata Aminuddin, timbul pula isu ketidakpuasan hati berhubung larangan pemasangan khemah awam ditetapkan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sehingga adanya saranan memboikot kawasan peranginan berkenaan.
"Kalau dulu, sampai kata kalau ada lagi khemah biru kita boikot. Tapi hari ini, bila kita kata semua tak boleh, itu pun nak boikot.
"Jadi mana satu saya nak ikut, saya pun tak tahu. Tapi tak bolehlah buat suka-suka, hari ini kita boleh pasang khemah, esok tak boleh," katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, apa yang pentingnya, masyarakat perlu diberi kesedaran bahawa pantai adalah milik umum dan pada masa sama perlu juga sensitif terhadap nasib para peniaga.
"Jangan esok kita boikot, kita merugikan bangsa kita sendiri. Orang tempatan sediakan khemah, kita serang dia, tapi orang luar boleh datang bila-bila masa.
"Jangan ikut perasaan, tetapi kita tengok keselamatan, kesesuaian, adab dan suasana," katanya.
Terdahulu Aminuddin menyaksikan gimik penyerahan projek oleh jurutera Jabatan Kerja Raya daerah Seremban, Aznor Izman Mahmood kepada Pengarah Pembangunan Negeri Sembilan, Datuk Noor Ihsan Che Mat.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan rugutan warganet berbuka peraturan pemasangan khemah di kawasan peranginan itu di media sosial selepas tular video hebahan bergerak MPPD mengenai larangan pemasangan khemah di pantai awam Port Dickson.
Perkongsian video tersebut di media sosial telah mendapat pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan peraturan berkenaan.
"Boikot je jangan bercuti ke PD... Banyak lagi tempat yang bagus dan cantik. Ini semua nak buat duit dan nak kontrol.
"Dulu pantai PD bebas dan boleh saja pasang khemah. Ini semua nak susahkan rakyat... Pantai itu Allah bagi free bukan manusia yang buat. Jom boikot!," luah seorang warganet. - Sinar Harian
#Port Dickson #isu khemah #Menteri Besar #Aminuddin Harun
;