Hooray X Fest Raya: Penganjur beri kata dua kepada vendor
Harits Asyraf Hasnan
April 19, 2023 09:00 MYT
April 19, 2023 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Penganjur Hooray X Fest Raya difahamkan memberi kata dua kepada vendor yang terlibat dalam festival membeli-belah sempena Syawal itu.
Wakil vendor menerusi satu kenyataan memaklumkan, Ketua Pengarah Eksekutif Tenview (M) Sdn Bhd, Datuk Mohammad Aliff Hakim memberi dua pilihan selepas membatalkan program tersebut.
Pilihan pertama adalah untuk peniaga mendapatkan semula bayaran atau pilihan kedua, menunggu tarikh acara berikutnya yang akan diumumkan kelak.
"Pihak penganjur akan membuat pertemuan bersama-sama dengan semua peniaga untuk urusan bayaran balik yang akan berlangsung jam 2 petang ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)," menurut kenyataan itu.
Mohammad Aliff berkata, pembatalan dibuat kerana penaja utama telah menarik diri, menyebabkan bayaran lokasi acara tidak dapat dilunaskan.
Namun, beliau tidak mendedahkan nama penaja tersebut.
Beliau ditemui semasa mengadakan pertemuan bersama-sama vendor dan peniaga yang terjejas di WTCKL malam tadi.
Acara Hooray x Raya Fest sepatutnya diadakan pada 19-21 April 2023, berlangsung selama 72 jam tanpa henti, di WTCKL.
Antara rakan artis dan selebriti yang terlibat termasuk Lann A To Z, Wan Scoin, Jaafar Onn, Ayie Floor 88, Amer Forteen, Elyana, Aidil Aziz, Risteena, Izzue Islam, Rina Eva, Anne Abdullah, Farah Wahida, Cat Farish, Ayu Damit, Soffi Jikan dan Rahmat Mega.
Acara ini mendapat kerjasama dan sokongan daripada Boy Iman yang juga merupakan Presiden Kelab Usahawan Selebriti Malaysia.