'Homestay' Kota Aur raih anugerah Standard Pelancongan Asean

Zulfa Mohamad
Jun 18, 2023 13:20 MYT
Permainan tradisional adalah antara aktiviti membabitkan penyertaan pelancong asing di Inap Desa Kota Aur. - Gambar/ Astro AWANI
KEPALA BATAS: Sebelum ini Inap Desa Kota Aur, di sini, hanya popular di peringkat negeri dan kebangsaan, namun ia kini melangkah lebih jauh apabila meraih Anugerah Standard Pelancongan Asean, baru-baru ini.
Inap desa berkenaan yang beroperasi sejak 15 tahun lalu diiktiraf inap desa paling aktif di Pulau Pinang dan sering menjadi tumpuan pelancong antarabangsa selain mempunyai peserta inap desa tertua yang aktif, Latifah Abdullah, 74.
Penyelaras Inap Desa Kota Aur, Siti Khairiah Md Yatim berkata, Inap Desa Kota Aur antara tujuh inap desa di Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak yang meraih anugerah prestij tersebut.
"Antara faktor kejayaan Inap Desa Kota Aur ialah kesepakatan 25 pemilik rumah yang menjadikan kediaman sebagai inap desa selain suasana pemandangan kampung yang menarik seperti sawah padi, pokok kelapa dan matahari terbenam.
"Ramai pelancong asing dari Australia, Britain, Jerman dan New Zealand mengaku tertarik dengan pemandangan sekitar Kampung Kota Aur," katanya.
Antara aktiviti yang pernah dijalankan di Inap Desa Kota Aur membabitkan penyertaan pelancongan asing ialah berbasikal di laluan sawah padi, menangkap itik dalam sawah, kukur kelapa, berpakaian tradisional Melayu dan bermain congkak.
Selain itu, Kota Aur juga mempunyai sejarah yang menarik kerana terletak berhampiran tapak penemuan rangka manusia berusia 5,000 tahun iaitu di Guar Kepah serta pernah dikaitkan dengan Kota Buluh iaitu istana Kerajaan Merong Mahawangsa.
Menurut Siti Khairiah, faktor alam sekitar yang menarik dan kerjasama penduduk menjayakan program bersama pelancong luar negara menjadi sebab Inap Desa Kota Aur mewakili Pulau Pinang dalam meraih Anugerah Standard Pelancongan Asean.
#Inap Desa Kota Aur #Homestay Kota Aur #Anugerah Standard Pelancongan Asean #pulau pinang
;