Homecoming PETRONAS cungkil bakat badminton di Sibu

Rudi Affendi Khalik
September 27, 2024 17:10 MYT
PETRONAS berharap program Homecoming di Sibu ini dapat memberi inspirasi kepada pemain muda untuk mencapai potensi mereka dan mungkin menjadi pemain negeri atau kebangsaan yang dikenali di seluruh dunia.
SIBU: Sempena 50 tahun penubuhannya dan bagi meraikan keakraban dengan Bumi Kenyalang, PETRONAS baru-baru ini telah menjayakan program Homecoming di Sibu.

Ringkasan AI
  • Sempena ulang tahun ke-50, PETRONAS mengadakan program Homecoming di Sibu untuk menyantuni peminat dan atlet muda badminton. Program ini melibatkan dua pemain remaja kebangsaan, Muhammad Haikal Nazri dan Cheng Su Yin.
  • Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Syarikat Malaysia LNG, Laga Jenggi, menekankan bahawa program ini adalah cara PETRONAS membalas budi kepada rakyat Sarawak. Beliau juga menyatakan bahawa kerjasama antara PETRONAS dan Sarawak telah berkembang dan semakin kukuh sepanjang 50 tahun.
  • Program ini bertujuan untuk memotivasikan bakat muda dalam sukan badminton di Sarawak. PETRONAS berharap dapat memberi inspirasi kepada pemain muda untuk mencapai potensi mereka dan mungkin menjadi pemain negeri atau kebangsaan yang dikenali di seluruh dunia.

Program ini unik kerana menyantuni peminat dan atlet muda dalam sukan badminton, menerusi kehadiran dua pemain remaja kebangsaan Muhammad Haikal Nazri dan Cheng Su Yin di Stadium Tertutup Sibu.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Syarikat Malaysia LNG, Laga Jenggi, program ini adalah cara PETRONAS membalas budi kepada rakyat yang sentiasa menyokong dan mendukung syarikat minyak dan gas negara itu.
“Program Homecoming sentiasa istimewa bagi kami.
"Selepas 50 tahun beroperasi, program ini sebenarnya adalah sesuatu yang sangat bermakna dan menyentuh ramai orang.
PETRONAS, jelasnya, telah melalui pelbagai cabaran, dan banyak pemimpin pelopornya telah meninggalkan legasi untuk diteruskan, untuk terus diperbaiki, dan untuk terus diinovasi bagi menjadikannya lebih kukuh pada masa hadapan.
“Jadi, saya rasa sambutan ulang tahun ke-50 ini bagi kami di PETRONAS dan di Sarawak adalah satu acara yang sangat istimewa dan saya yakin ia hanya akan menjadi lebih baik.
PETRONAS dan Sarawak, jelasnya, akan menjadi lebih kuat seiring dengan perjalanan masa.
"Saya tidak melihat sebarang hasil lain selain organisasi yang lebih baik secara keseluruhannya dan kerjasama yang lebih baik di antara PETRONAS dan Sarawak apabila kita melangkah melepasi usia 50 tahun,” katanya.
Akui Laga, kedua-dua pihak sentiasa berganding bahu dan dewasa bersama, terutamanya dalam mendepani apa juga cabaran mendatang.
“Saya rasa selama 50 tahun, PETRONAS dan Sarawak telah bekerja dengan sangat rapat dan kita telah melalui banyak ujian dan menghadapi pelbagai cabaran bersama.
"Saya percaya kerjasama kita semakin baik dari hari ke hari, dan ini telah terbukti sepanjang 50 tahun lalu.
Operasi PETRONAS, maklumnya, telah berkembang daripada hampir tiada kepada keadaan yang ada sekarang.
"Semua ini adalah hasil kerjasama antara PETRONAS dan Kerajaan Sarawak,” jelasnya yang percaya syarikat minyak dan gas itu akan meneruskan operasinya di Sarawak, dan menjangkakan kerjasama yang lebih baik pada masa depan dalam mendepani cabaran akan datang.
Mengenai program yang berlangsung, katanya, ia membuktikan hubungan akrab PETRONAS dan masyarakat, dan dalam konteks sukan badminton, syarikat itu membantu dalam memotivasikan bakat yang ada di wilayah tengah Sarawak itu.
“Ini adalah cara kami bekerja dengan masyarakat, menjadi sebahagian daripada ini juga merupakan bukti komitmen kami terhadap komuniti tempatan.
"Untuk pemain badminton, saya harap peluang yang diberikan hari ini akan memberi inspirasi kepada mereka untuk mencapai tahap dan potensi sejauh yang mampu, seperti mana-mana pemain negeri atau kebangsaan yang kita miliki.
“Kewujudan akademi ini di Sibu adalah titik permulaan yang baik untuk ramai pemain badminton," tambahnya.
Katanya lagi, mungkin ada antara peserta program itu akan menjadi pemain negeri dan kebangsaan yang dikenali di seluruh dunia, dan diharapkan PETRONAS adalah sebahagian daripada pihak yang berperanan dalam pencapaian itu.
Bagi peserta, Ting Siang Ngu, ini adalah peluang emas untuk mereka belajar lebih dekat daripada atlet profesional badminton bagi mewarisi kemahiran dan ilmu yang mereka kongsikan.
“Saya sangat gembira diberikan peluang menyertai kejohanan ini kerana dapat beraksi di gelanggang dengan pemain baharu dan saling berkongsi semangat berpasukan.
"Saya juga belajar mengenai ilmu kepimpinan, kemahiran berpasukan, serta disiplin daripada program ini,” ujarnya.
#badminton #Petronas #program Homecoming di Sibu #Muhammad Haikal Nazri
;