Holyfield ikut jejak langkah Tyson, bakal kembali ke gelanggang
Astro Arena
Mei 8, 2020 09:39 MYT
Mei 8, 2020 09:39 MYT
Evander Holyfield mengikut jejak langkah seteru, Mike Tyson, selepas mengumumkan merancang untuk kembali ke gelanggang pada usia 57 tahun.
Holyfield tidak beraksi sejak Mei 2011, apabila dia menumbangkan Brian Nielsen dalam perlawanan profesionalnya yang ke-57 dan mengumumkan persaraan pada 2014.
Juara dalam kategori cruiserweight dan heavyweight, Holyfield kekal sebagai juara dunia empat kali dalam kategori heavyweight.
Kini Holyfield mendedahkan dia akan kembali ke gelanggang untuk perlawanan pertunjukan untuk meraih dana amal Unite 4 Our Fight.
"Sudahkah anda bersedia? Saat yang anda nanti-nantikan... Sang juara sudah kembali," katanya menerusi Twitter.
"Saya ingin mengumumkan bakal membuat penampilan semula dan perlawanan ini adalah bertujuan amal."
"Kempen #Unite4OurFight bertujuan untuk mengisi kekosongan yang dihasilkan oleh pandemic bagi memberikan akses kepada golongan belia yang memerlukan perkembangan emosional dan pendidikan."
Pengumuman Holyfield hadir selepas Tyson, yang turut mengumumkan mahu kembali ke gelanggang dalam perlawanan amal.