Hoki: Malaysian Tigress belasah Singapura 12-0
Bernama
Jun 10, 2019 11:04 MYT
Jun 10, 2019 11:04 MYT
Skuad hoki wanita negara mempamerkan aksi seperti yang dijangkakan apabila membelasah Singapura 12-0 pada Kejohanan FIH Siri Akhir di Banbridge, Ireland, pada petang Ahad (tengah malam di Malaysia).
Pemain pertahanan veteran Nuraini Rashid menjaringkan hatrik apabila pakar sudut penalti berusia 30 tahun itu meledak tiga gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-12, 28 dan 35 dalam perlawanan Kumpulan A, bermain dalam keadaan hujan dengan suhu 13 darjah Celsius.
Malaysian Tigress, yang berada di kedudukan ranking ke-22 dunia, membuka tirai jaringan gol melalui Hanis Nadia Onn menerusi pukulan padang pada minit kesembilan dan diikuti oleh Surizan Awang Noh (19') dan Kirandeep Kaur (21') pada separuh masa pertama.
Skuad Muhammad Dharma Raj Abdullah itu terus berpesta gol menentang ranking ke-35 dunia, Singapura pada separuh masa kedua apabila terus menambah jaringan menerusi Nurmaizatulhanim Syafi (39'), Siti Zulaikha Husain (42' dan 47'), Fazilla Sylvester Silin (44') dan Wan Norfaiezah Saiuti (51').
Pemain pertahanan Raja Norsharina Raja Shabuddin menyempurnakan kejayaan berganda apabila meledak gol menerusi pukulan sudut penalti pada detik akhir perlawanan separuh masa kedua untuk mengutip mata penuh, kekal di tempat kedua dalam kumpulan di belakang tuan rumah Ireland.
Dengan kemenangan itu, Malaysia hampir pasti mengesahkan tempat ke pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020, melainkan Singapura berjaya mencipta kejutan menewaskan Ireland dalam perlawanan terakhir Kumpulan A pada Selasa.
Malaysia memulakan kempen dengan aksi yang memberangsangkan serta memberi saingan sengit apabila tewas 2-1 kepada pasukan ranking kelapan dunia, Ireland pada Sabtu.
Dalam perlawanan terakhir bagi pusingan round robin, Tigress Malaysia akan menentang ranking ke-19 dunia, Republik Czech pada hari Selasa dan kumpulan teratas mara ke separuh akhir, manakala pasukan kedua dan ketiga ditentukan dalam peringkat kalah mati.
-- BERNAMA