Hobi memasak, perkongsian resepi rapatkan Tunku Azizah dengan rakyat
Harits Asyraf Hasnan
Mac 6, 2021 12:00 MYT
Mac 6, 2021 12:00 MYT
TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, nama yang tidak lekang di bibir rakyat tatkala bercerita soal masakan, terutama menu tradisional dan manisan.
Bergelar Raja Permaisuri Agong, baginda tidak pernah menjadikan darah diraja yang mengalir dalam dirinya sebagai penghalang untuk mendekati rakyat.
Atas rasa minat, baginda telah menghasilkan tiga buku iaitu Air Tangan Tengku Puan Pahang yang diterbitkan pada 2007, serta dua naskah buku pada 2018 iaitu Air Tangan Tengku Puan Pahang Manisan Tradisional Pahang dan Air Tangan Tengku Puan Pahang Masakan Tradisional Pahang.
Tunku Azizah pernah memaklumkan minat baginda dalam bidang masakan antara lain disebabkan dorongan yang diberikan oleh Almarhum ayahanda baginda Sultan Iskandar, lapor Bernama.
Kisah Tunku Azizah mula masuk ke dapur seawal usia lima tahun di bawah pengawasan pengasuh diraja baginda dan pernah mengikuti pendidikan masakan tidak formal di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI).
Mandat Tunku Azizah untuk semua hasil pembelian buku resepi itu disalurkan sebagai dana Yayasan Fertaliti Tunku Azizah (TAFF) yang diwujudkan sejak 11 Ogos 2004.
TAFF ialah badan amal yang diasaskan oleh baginda sendiri untuk membantu pasangan yang telah lama berkahwin untuk mendapatkan anak menerusi kaedah pembenihan in-vitro (IVF).
Malah, baginda menggunakan platform media sosial untuk merapatkan diri dengan rakyat hasil perkongsian pelbagai resepi termasuk teknik memasak.
Setiap perkongsian di laman sosial baginda mendapatkan pelbagai reaksi positif termasuk pelbagai soalan seperti teknik memasak, perincian resepi hinggalah perkakasan yang digunakan baginda.
Selain itu, mangsa banjir terutama di Pahang sering disajikan dengan masakan air tangan Tunku Azizah yang sering mencemar duli ke pusat-pusat pemindahan sementara.
Selain mempunyai kepakaran dalam selok-belok bidang kulinari, Tunku Azizah juga mempunyai bakat dalam bidang kraf dan tekstil dan lantaran cinta yang mendalam dalam bidang itu.
Baginda turut memartabatkan tenunan Pahang dengan mengasaskan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam pada 2006.
NOTA: Layari semua berhubung Ulang Tahun Perkahwinan ke-35 Pasangan DiRaja di laman mikro Astro AWANI.
#Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
#Permaisuri Agong
#Air Tangan Tengku Puan Pahang
#Manisan Tradisional Pahang
#Masakan Tradisional Pahang
#resepi masakan permaisuri
#AgongKita
#Anniversary Agong
#pasangan diraja
#35 tahun pasangan diraja