HKR: Kita semua sebenarnya boleh bekerjasama

Astro Awani
Januari 12, 2013 21:35 MYT
Mereka berhimpun, berucap dan kemudian bersurai. Semuanya berlangsung dengan aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Itulah perasaan yang diluahkan serta suasana yang dikesan baik di lokasi mahupun di dunia maya sepanjang Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) berlangsung. Himpunan itu juga dikenali di Twitter sebagai #HKR112.
Ramai orang meletakkan harapan agar perhimpunan ini tidak menjejaskan kelancaran urusan harian atau mendatangkan ketidakselesaan, dan sememangnya itulah yang berlaku. Malah, kita melihat hubungan dan kerjasama yang baik antara pihak berkuasa terutamanya polis dengan peserta perhimpunan. Ini satu perkara yang sangat dialu-alukan.
Astro Awani yang berpejabat di Bukit Kewangan dekat dengan Pusat Transformasi Bandar (atau nama lamanya, Puduraya) boleh disifatkan terletak dalam kawasan yang berdekatan dengan Stadium Merdeka — lokasi yang dipersetujui untuk HKR.
Wartawan kami berada di gelanggang dan mengikuti dengan dekat perhimpunan ini di sebahagian besar lapan lokasi atau tempat peserta perhimpunan berkumpul sebelum menuju ke Stadium Merdeka.
Wartawan kami menyalurkan maklumat perkembangan semasa dan terkini kepada anda; daripada peniaga di tepi jalan yang muncul dalam satu malam di sepanjang jalan menuju ke stadium sampailah kepada insiden-insiden lucu termasuk seorang lelaki yang tiba-tiba saja menyanyi dengan suara yang kuat di tengah-tengah khalayak.
Tempat duduk di stadium bertukar jadi medan warna-warni dengan baju T yang dipakai oleh peserta dengan setiap warna mewakili isu-isu yang mereka bawa. Kemudian, stadium bergema dengan ucapan demi ucapan.
Biarpun jalan ditutup dan laluan trafik dilencongkan sejak seawal 9 pagi, keadaan secara umumnya lancar dengan gangguan yang agak minimum kepada warga kota.
Setelah semuanya selesai, peserta meninggalkan stadium tanpa rasa bimbang.
Berdasarkan kepada perhimpunan sebelum ini, ada banyak perkara tidak diingini yang berlaku yang kemudiannya menyebabkan semua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain.
Bagi mereka yang mengharapkan perkara buruk terjadi, HKR tentulah mengecewakan mereka.
HKR juga ada cacatnya apabila ada ibu bapa yang membawa anak mereka bersama biarpun telah diingatkan beberapa kali oleh pihak berkuasa bahawa adalah menjadi satu kesalahan untuk melibatkan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun, seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
Mungkin kerana tidak biasa kerana ini adalah satu proses belajar tetapi adakah ini bermakna kita sedang melihat trend baru iaitu perhimpunan besar-besaran atas nama keadilan atau mendesak sesuatu yang diperjuangkan?
Ada kelompok di kalangan kita yang sudah letih dengan apa saja bentuk perhimpunan, dan menganggapnya sebagai sesuatu yang mengganggu. Tetapi ada juga yang mahu melaungkan kepada dunia isu-isu mereka.
Bagaimanapun, apa yang penting ialah suara rakyat yang harus didengar. Perhimpunan seperti ini membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenal diri sendiri dan bagaimana kesejahteraan boleh dikecapi — bukan hanya melalui perhimpunan tetapi sebagai satu kebersamaan.
Mesej daripada perhimpunan yang aman jelas menunjukkan suara rakyat.
Ia merupakan usaha bersama semua pihak termasuk polis, pembangkang dan parti pemerintah untuk memastikan bahawa keamanan dan konsensus boleh dicapai sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing.
Kita semua sebenarnya boleh bekerjasama. Tetapi mereka yang mendapat manfaat paling besar daripada semua ini adalah peniaga yang mengaut untung lebih daripada biasa.
#himpunan kebangkitan rakyat
;