HKL sambut 15 bayi tahun baharu

Bernama
Januari 1, 2014 18:09 MYT
Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyambut kelahiran 15 bayi tahun baharu setakat pukul 4 petang ini dengan lapan bayi lelaki dan tujuh perempuan.
Bayi pertamanya lahir pada 1.22 pagi.
Bayi perempuan seberat 3.14 kilogram itu merupakan anak sulung kepada Azleeza Zulkifli, 24 dan suami Darussalam Irma, 26.
"Kelahiran Damia Afiza ini adalah hadiah paling berharga bagi saya kerana semalam merupakan hari jadi saya," kata Azleeza.
Bagi pasangan Noor Akma Syakila Mohd Jamil, 23, dan suami Muhd Azlee Ismail, 24, ini kali kedua mereka menyambut bayi tahun baharu.
Anak ketiga mereka Muhd Ammar Darwisy lahir pada 9.55 pagi tadi.
Pada 1 Jan dua tahun lepas kami menyambut anak kedua. Kami tidak merancang kelahiran anak-anak dan kami menyambut kedatangan anak ketiga ini dengan penuh kesyukuran, kata Noor Akma.
Sementara itu tinjauan Bernama menunjukkan setakat 4 petang ini 12 bayi lahir di Hospital Sungai Buloh (HSB), 16 di Hospital Ampang, tujuh di Hospital Putrajaya dan dua masing-masing di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur dan Hospital Ampang Puteri.
HSB menyambut bayi pertamanya pada 12.08 pagi, iaitu bayi lelaki kepada pasangan warga Brunei.
#bayi #HKL #tahun baru
;