Histeria menyerang SMK Ketereh, puluhan pelajar jadi mangsa
Sinar Harian
Julai 22, 2018 22:12 MYT
Julai 22, 2018 22:12 MYT
Histeria di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh kembali menyerang buat kali ketiga dengan 30 pelajar pula menjadi mangsa.
Kejadian jam 10 pagi tadi bermula dengan seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 yang meracau dan menjerit secara tiba-tiba selepas mendakwa terlihat kelibat semasa berada di dalam kelas.
Seorang guru wanita berkata, beliau berada di kantin ketika itu dan terkejut mendengar keadaan bertukar huru-hara.
“Pada mulanya, keadaan itu dikendalikan doktor, pembantu perubatan dan jururawat yang kebetulan berada di sekolah kerana mengendalikan sesi kaunseling.
“Histeria bagaimanapun merebak pula kepada pelajar lain sehingga 30 pelajar perempuan menyebabkan beberapa ustaz dipanggil untuk membantu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.
Katanya, keadaan kembali terkawal pada jam 12 tengah hari dan mereka yang diserang histeria dibenarkan pulang.
“Histeria kali ini menyerang pelajar sama dan ada juga merebak kepada pelajar yang baru, namun tidak membabitkan guru kerana kami ketika itu sedang ditemu bual pihak JPN (Jabatan Pendidikan Kelantan),” katanya.
Rabu lalu, sesi persekolahan SMK Ketereh pada Rabu lalu ditamatkan lebih awal selepas 39 pelajar; dua guru, seorang pembantu makmal dan seorang pelajar lelaki diserang histeria.
Dalam kejadian bermula jam 7.30 pagi itu, seorang pelajar Tingkatan 2 sekolah itu tiba-tiba bertempik sebelum keadaan mula menjadi kecoh dan berjangkit kepada pelajar lain.
Sementara itu, seorang pelajar Tingkatan 3 yang menjadi mangsa histeria berkata, dia berasakan seperti ada sesuatu memerhatikannya selain terlihat kelibat hitam berlegar-legar di belakang sebuah kelas di tingkat dua bangunan tersebut.
"Saya berasa takut sebelum tidak sedarkan diri. Apabila sedarkan diri saya sudah berada di surau sebelum bapa saya ambil dari sekolah dan bawa pulang," katanya.
Menurut bapa pelajar berkenaan, ia merupakan kali kedua anaknya diserang histeria dimana kali pertama adalah pada Rabu lalu.
"Saya ingatkan dia sudah pulih sepenuhnya sebelum membenarkan dia ke sekolah hari ini. Bagaimanapun kejadian menimpanya berulang lagi.
“Saya nasihatkannya agar sentiasa membaca surah al-Quran agar terhindar daripada perkara tidak diingini. Mungkin semangatnya masih lemah cuma saya harap pihak sekolah berbuat sesuatu," katanya.