Hishamuddin Rais disekat ke luar negara
Harits Asyraf Hasnan
Disember 4, 2015 10:41 MYT
Disember 4, 2015 10:41 MYT
Aktivis politik, Hishamuddin Rais mendakwa beliau dihalang ke luar negara pada Khamis malam menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurutnya, pihak Jabatan Imigresen telah menghalangnya dari menaiki pesawat Malaysia Airlines (MH 0066) menuju ke Incheon, Korea Selatan.
"Kenapa saya dilarang adalah pertanyaan saya kepada pihak berwajib Malaysia?
"Maka soalan kenapa saya dilarang wajib ditujukan kepada pihak yang melarang bukan kepada saya yang kena larang," katanya dalam satu kenyataan media, Jumaat.
Menurutnya, dia mendapat jemputan dari kumpulan NGO, dari Korea Selatan, People Solidarity for Participatory Democracy (PSPD) sebagai pemerhati dalam sebuah program Perhimpunan Rakyat yang dijadual pada 5 Disember.
"Selain dari menjadi pemerhati pada 7 dan 8 Disember kami juga telah dijadualkan untuk bertemu dengan Agensi Polis Nasional Korea.
"Surat telah dihantar kepada Commissioner General Kang Sin-Myeong untuk pertemuan tersebut," katanya.
Tambah Hishamuddin, satu pertemuan juga telah diatur untuk membolehkan pihak pemerhati bertemu dengan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Korea, Lee Sung-ho.
Hishamuddin merupakan aktivis BERSIH 2.0 selain pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad bersama beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat berkata larangan terhadap Hishamuddin itu tiada unsur politik.
Katanya, jabatan kerajaan termasuk Jabatan Imigresen mempunyai hak untuk menghalang mana-mana individu ke luar negara berlandaskan undang-undang.
"Larangan ini tiada kaitan politik. Jabatan kerajaan ada hak untuk melarang sesiapa sahaja ke luar negara mengikut undang-undang yang sedia ada. Setiap larangan mesti ada alasannya," kata Nur Jazlan.
#Akta Keselamatan Dalam Negeri
#Hishamuddin Rais
#ISA
#Korea
#Lee Sung-ho
#People Solidarity for Parcipatory Democracy