Hishamuddin puji tindakan pantas ATM bantu mangsa banjir Pulau Pinang
Dania Zainuddin
November 5, 2017 13:38 MYT
November 5, 2017 13:38 MYT
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein meluahkan rasa bangga dengan tindakan pantas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang.
Katanya, seawal jam 3 pagi lagi, pasukan pemantau 509 Askar Wataniah sudah digerakkan untuk membantu mangsa.
Setakat ini, anggota dan aset Angkatan Tentera Malaysia sudah berjaya memindahkan penduduk di beberapa kawasan terjejas termasuk di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Tengah, Zon Barat Daya dan Zon Timur Laut.
Selain itu, pihak ATM juga melakukan pembersihan laluan terhalang dan membantu operasi pembersihan di kawasan-kawasan terjejas.
Hampir keseluruhan kawasan rendah di Pulau Pinang dinaiki air setinggi 0.2 meter hingga 1 meter berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan bertembung dengan kejadian air pasang di laut mengakibatkan limpahan air berlaku dengan pantas.
Cuaca buruk dan banjir kilat yang melanda Pulau Pinang sejak Sabtu itu, setakat ini telah meragut tiga nyawa.