Hishamuddin kecewa dengan pembentangan Kertas Putih Pertahanan

Fareez Azman
Disember 2, 2019 18:05 MYT
Hishamuddin Hussein kecewa dengan pembentangan Kertas Putih Pertahanan 2020-2030. - Gambar fail
Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein kecewa dengan hasil pembentangan Kertas Putih Pertahanan (KPP) 2020-2030.
Ketika berbahas usul terbabit di Dewan Rakyat pada Isnin, Hishamuddin berkata, intipati KPP hanyalah versi ringkas dan tidak memperincikan pelbagai inisiatif dibawah Kementerian Pertahanan.
"Sejujurnya saya menanti KPP. Sebagai mantan menteri saya lakukan semak dan imbang pada intipati KPP apatah lagi soal pertahanan dan kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan hala tuju ATM, menentukan kedudukan keselamatan tanah air kita.
"Kalau kita boleh dedahkan berapa kapal terbang kita boleh terbang, sekarang ini bila ditanya perincian dalam KPP bukan hendak tunjukkan kekuatan ketenteraan kita, tetapi sekurang-kurangnya memberi keyakinan bhawa kita mempunyai perancangan, bukan menunjukkan apa kekuatan kita.
"Kita mahu tunjuk kepada dunia bahawa kerajaan Malaysia mengambil serius berhubung kait dengan soal keselamatan negara. Inilah harapan saya bila KPP ini dibentangkan, malangnya ianya mengecewakan," tegas Hishamuddin lagi.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sebelum itu membentangkan KPP yang merangkumi strategi pertahanan negara yang akan dilaksanakan bagi tahun 2020-2030.
BACA: KPP: Strategi pertahanan negara inklusif 2020-2030
#Hishammuddin Hussein #Kertas Putih Pertahanan #Menteri Pertahanan #Mohamad Sabu
;