Hishammuddin: Suruhanjaya khas siasat Lahad Datu

Astro Awani
Mac 25, 2013 08:25 MYT
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin bahawa kerajaan akan menubuhkan suruhanjaya khas atau membuka kertas putih untuk menyiasat insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah.
Beliau berkata, ini penting bagi mendedahkan dan menyiasat siapa pihak ketiga dan individu tertentu yang menyebarkan maklumat tidak benar melalui khidmat pesanan ringkas dan internet.
“Isu kaum, agama dan juga perkara-perkara yang boleh memecahbelahkan masyarakat ini orang ramai dah tolak bulat-bulat jadi dalam usaha kita nak melihat kebenaran apa sebenarnya berlaku selepas kita membersihkan saki baki penceroboh yang sedia ada,” kata Hishammuddin selepas melancarkan jentera pilihan raya Pemuda Barisan (BN) Nasional Gombak.
Hishammuddin berkata dalam usaha melihat kebenaran, orang ramai perlu rasional mentafsir dan melihat tindakan pihak tertentu yang mengambil kesempatan mengeksploitasi insiden pencerobohan itu.
“Saya harap bahawa orang ramai rasional melihat kepada tindak tanduk segelintir mereka yang cuba hendak ambil kesempatan dalam apa yang berlaku di Lahad Datu dan Semporna,” kata beliau.
Katanya, secara umumnya beliau melihat keadaan di sana terkawal serta banyak perkara yang digembar gemburkan sebelum ini, 98 peratus daripadanya tidak merupakan perkara yang benar.
“Untuk pihak ketiga saya mengingatkan orang ramai khususnya di Sabah bukan sahaja rakyat bersatu tetapi kaum Sulu sendiri yang ramai di Sabah bersama-sama dengan kita dan jangalah cuba melaga-lagakan pihak-pihak tertentu dengan pertimbangan sempit,” tambah Hishammuddin.
Sementara itu, Hishammuddin dalam ucapannya juga mengingatkan pemuda agar sentiasa memastikan BN berada di dalam satu barisan untuk menyatupadukan masyarakat walaupun terdapat kepelbagaian kaum dalam parti itu.
Tambahnya, pemuda BN juga perlu memastikan agar tidak ada pihak mengambil sebarang peluang menghuru-harakan keadaan negara ini.
#Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein #Lahad Datu #Pemuda BN #Sabah #siasatan #suruhanjaya
;