Hishammuddin mohon Mesir suntik vaksin COVID-19 kepada 8,000 penuntut Malaysia

Bernama
Jun 21, 2021 08:28 MYT
Datuk Seri Hishammuddin berkata, Mesir secara positif menerima permintaannya untuk memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada kira-kira 8,000 penuntut Malaysia di negara itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, rakan sejawatannya, Sameh Hassan Shoukry secara positif menerima permintaannya untuk memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada kira-kira 8,000 penuntut Malaysia di Mesir.
Dalam ucapannya pada sidang media bersama dengan Shoukry di Kaherah pada Ahad, Hishammuddin berkata, pada dasarnya Mesir memang sudah memutuskan untuk menyuntik semua warga asing termasuk rakyat Malaysia di negara itu.
"Saya turut memaklumkan Shoukry bahawa Malaysia juga mengambil pendekatan sama dengan menawarkan suntikan kepada warga Mesir di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Hishammuddin kini dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Mesir bermula Ahad, kunjungan pertama beliau ke negara itu sejak dilantik Menteri Luar pada Mac 2020. - BERNAMA
#vaksin COVID-19 #Mesir #Malaysia #penuntut malaysia #rakyat Mesir #Hishammuddin Hussein #Sameh Hassan Shoukry #Menteri Luar