Hishammuddin, Menteri Luar China akan bincang situasi di Laut China Selatan

Nailah Huda
Jun 5, 2021 13:44 MYT
Hishammuddin dan rakan sejawatnya dari China, Wang Yi dijangka membincangkan beberapa inisiatif baharu bagi mengukuhkan kerjasama dua hala termasuk berhubung vaksin COVID-19. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan membincangkan situasi di Laut China Selatan bersama rakan sejawatnya dari China, Wang Yi susulan insiden pencerobohan ruang udara negara oleh 16 pesawat milik tentera udara China.
Mesyuarat dua hala itu akan diadakan di samping Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-China di Chongqing, China pada 7 Jun ini.
Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, Hishammuddin bakal mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat itu sempena ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-China.
“Kedua-dua menteri akan membincangkan langkah terbaik bagi memastikan insiden sedemikian tidak akan berulang bagi mengekalkan stabiliti dan keamanan, serta mengelak sebarang salah anggap atau impak yang tidak disengajakan,” menurut kenyataan itu.
Pada Khamis, Wisma Putra telah memanggil Duta Besar China dan menyerahkan nota bantahan diplomatik susulan insiden pencerobohan di ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu pada Isnin.
Selain isu kedaulatan negara, kedua-dua menteri itu juga dijangka membincangkan beberapa inisiatif baharu bagi mengukuhkan kerjasama dua hala termasuk berhubung vaksin COVID-19, pembangunan infrastruktur, kewangan, ekonomi digital, pengeluaran makanan dan pertanian berteknologi tinggi.
Menerusi Mesyuarat Khas itu pula, Menteri-Menteri Luar ASEAN dan China akan berkongsi pandangan berhubung kerjasama dalam menangani penularan COVID-19, serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang lain.
Dalam kenyataan sama, Wisma Putra turut memaklumkan bahawa Hishammuddin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Diplomasi Antalya di Turki bermula 18 hingga 20 Jun yang dirasmikan oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Antara Mesyuarat Khas di ASEAN dan forum di Antalya, Hishammuddin juga bakal mengadakan lawatan rasmi ke Mesir, Kuwait dan Qatar.
Selain mengukuhkan hubungan bersama negara-negara Asia Barat itu, Malaysia turut akan menekankan sokongan terhadap rakyat Palestin serta pendirian negara berhubung konflik Israel-Palestin.
#Hishammuddin Hussein #Wisma Putra #China #ASEAN #pencerobohan #ruang udara #tentera #wang yi #Turki #Antalya #Palestin
;