Hishammuddin lakukan lawatan rasmi ke Brunei esok

Astro Awani
Februari 27, 2021 17:02 MYT
Wisma Putra menyatakan bahawa lawatan rasmi itu adalah untuk memenuhi jemputan daripada Sultan Brunei, Sultan Hassanah Bolkiah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan membuat lawatan rasmi ke Bandar Sri Begawan, Brunei mulai esok hingga 1 Mac 2021.
Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra menyatakan bahawa lawatan rasmi itu adalah untuk memenuhi jemputan daripada Sultan Brunei, Sultan Hassanah Bolkiah.
Sebelum Hishammuddin mengadakan pertemuan empat mata bersama Sultan Hassanah, beliau turut akan bertemu dengan rakan sejawat, Menteri Luar Negeri II Brunei, Datuk Erywan Mohd Yusof.
Antara tumpuan perbincangan kedua-dua pihak termasuk kerjasama pasca COVID-19 serta usaha untuk mengukuhkan hubungan istimewa sedia ada.
“Kedua-dua Menteri Luar Negeri akan berbincang mengenai perkara di bawah mekanisma dua hala terutamanya mengenai Rundingan Pemimpin Tahunan, kerjasama dalam bidang perdagangan, sektor minyak dan gas, isu persempadanan darat serta Kepengerusian ASEAN 2021 oleh Brunei Darussalam,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa yang sama, Wisma Putra menegaskan bahawa lawatan itu dirancang dan dikendalikan berdasarkan tatacara dan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 seperti yang ditetapkan kerajaan Brunei serta Malaysia.
Hishammuddin sebelum ini mengadakan beberapa lawatan rasmi sepanjang bulan ini termasuk Indonesia pada 4 Februari, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 8 Februari, dan Arab Saudi minggu lalu.
#Hishammuddin Hussein #Wisma Putra #Menteri Luar Negeri #Brunei #Indonesia #Arab Saudi #ASEAN #UAE #COVID-19 #lawatan rasmi #Sultan Hassanah Bolkiah #Erywan Mohd Yusof
;