Hishammuddin dijadual sertai Setiausaha Pertahanan AS naiki kapal perang AS

Bernama
November 4, 2015 23:30 MYT
Hishammuddin dijadual menyertai Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (Amerika) Ashton Carter dalam pelayaran menaiki kapal perang USS Theodore Roosevelt di Laut China Selatan pada Khamis. - Gambar Fail
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijadual menyertai Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (Amerika) Ashton Carter dalam pelayaran menaiki kapal perang USS Theodore Roosevelt di Laut China Selatan pada Khamis.
Carter berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di luar acara Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM)-Campur ketiga, dekat sini hari ini.
Carter berkata kehadiran kapal perang Amerika di Laut China Selatan bukan sesuatu yang baharu dan ia akan terus berada di perairan selagi undang-undang antarabangsa membenarkannya.
Beliau berkata ia tidak harus menjadi isu besar kerana apa yang sepatutnya menimbulkan kebimbangan ialah skala aktiviti membabitkan penambakan tanah dan aktiviti ketenteraan yang berlaku di perairan yang strategik itu.
"Saya fikir perkembangan terkini tahun ini ialah skala penambakan tanah dan aktiviti ketenteraan. Pergerakan Amerika Syarikat bukan baharu sama ada di Laut China Selatan atau di seluruh dunia," kata beliau.
Para pegawai Amerika dan China bertelagah berhubung tindakan tentera laut Amerika menghantar kapal pemusnah peluru berpandu menghampiri pulau buatan yang dibangunkan China di Kepulauan Spratly yang menjadi pertikaian.
Mengenai ADMM-Campur, Carter memuji negara-negara anggota ASEAN atas perbincangan aktif mengenai isu Laut China Selatan.
ADMM-Campur dianggotai 10 negara anggota ASEAN dan lapan lagi negara - Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat.
Malaysia menjadi hos mesyuarat tahun ini selaku Pengerusi ASEAN.
ASEAN terdiri daripada Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar, Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
#Ashton Carter #Hishammuddin Tun Hussein #Laut China Selatan #USS Theodore Roosevelt
;