Hishammuddin diharap perkukuh siapsiaga ATM

Bernama
Mei 16, 2013 08:25 MYT
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang dinamakan Menteri Pertahanan yang baru, diharap dapat menyumbang kepada kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempastikan keselamatan dan pertahanan negara.
Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata tumpuan juga harus diberi kepada usaha meningkatkan kebajikan warga tentera.
"Saya harap pelantikan beliau mampu menjadikan ATM sebuah angkatan yang dihormati dan disegani di dunia," katanya ketika dihubungi Bernama sejurus selepas pengumuman barisan baharu Kabinet Persekutuan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya hari ini.
Dalam pengumunan tersebut, Hishammuddin, yang sebelum ini Menteri Dalam Negeri, bertukar portfolio dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Datuk Zulkiflee Mazlan yakin pertukaran portfolio itu akan mengukuhkan lagi persefahaman yang wujud berhubung soal keselamatan antara pasukan tentera dan polis.
Beliau berkata kerjasama antara kedua-dua kementerian penting itu akan mengukuhkan lagi payung kawalan keselamatan negara seperti yang dilihat ketika anggota keselamatan menangani insiden pencerobohan pengganas di Sabah.
Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek berkata pengalaman sebagai Menteri Pertahanan sebelum ini akan membolehkan Ahmad Zahid meningkatkan kemampuan KDN dalam menangani hal berkaitan keselamatan.
Mengulas pertukaran portfolio itu, Profesor Adjung Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Hasan Harun berkata Malaysia memerlukan 'tembok' bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan negara.
"Kedua-dua mereka (Hishammuddin dan Ahmad Zahid) boleh bertukar pendapat dan pandangan kerana masing-masing pernah menjawat jawatan tersebut," katanya.
Presiden Persatuan Pencegahan Jenayah Malaysia, P. Ravi berharap kedua-dua menteri itu dapat memainkan peranan lebih penting dalam mengurangkan kadar jenayah dan menjaga kedaulatan negara.
"Kami harap mereka dapat mengukuhkan soal keselamatan negara dan bersedia berhadapan dengan pelbagai cabaran pada masa akan datang," katanya.
Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri pula menyifatkan pertukaran tempat itu sebagai langkah tepat berdasarkan kebolehan dan pengalaman kedua-dua menteri itu yang terbukti ketika menentang pengganas di Sabah.
#Angkatan Tentera Malaysia (ATM) #Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein #Menteri Pertahanan
;