Hindari kes ikan kering 'dijamah' haiwan liar, kabin pengering jadi penyelesaian

Ruzaini Zulkepli
Mac 10, 2019 09:43 MYT
Jupili menunjukkan kabin pengering yang dimilikinya di Kg Batangan Baru, Tuaran. - Astro AWANI
Inovasi dalam industri makanan amat memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan produktiviti dan memastikan produk yang dikeluarkan lebih terjamin daripada segi kualiti serta kebersihan.
Jika sebelum ini masyarakat agak skeptikal dengan produk ikan bilis, ikan masin dan udang kering yang dijemur di kawasan lapang kerana tiada jaminan terhadap kualiti, masalah berkenaan dilihat mampu diselesaikan dengan teknologi baharu.
Ini sekali gus dapat menghindarkan insiden seperti ditularkan di laman sosial baru-baru ini, yang menunjukkan sekumpulan haiwan liar didakwa 'menjamah' makanan kering itu di utara Semenanjung.
Bagi pengusaha tempatan, Julipi Waimin, 38 tahun, yang bertanggungjawab mereka cipta kabin pengering ikan dikenali sebagai INNODRY, idea inovasi berkenaan bermula pada tahun 2016.
Katanya, ia terhasil daripada kajian projek pihaknya dengan menggunakan sistem pemanas bagi kenderaan dan gas masak LPG sehingga terhasilnya sistem pengeringan yang jimat tenaga.
"Pengeringan kabin pengering ini jika kita bandingkan dengan kaedah pengeringan yang natural tidak jauh beza, sebab elemen-elemen kabin pengering ini hampir sama dengan kaedah pengeringan semula jadi.
"Bezanya cuma, dengan menggunakan kabin pengering ini, sistem pengeringnya terkawal, memandangkan ada sistem peredaran udara. Selain daripada itu, sistem pemanas yang jimat tenaga.
"Seterusnya, ada sistem UV light yang bertujuan mensterilkan ataupun mematikan kuman-kuman yang terdapat di dalam ruangan pengeringan ataupun bawahan daripada makanan yang dikeringkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di Kampung Batangan Baru, Tuaran, pada Sabtu.
Sementara itu, Pengarah Bersekutu syarikat Sixtech Foresight, Rajini Ramlan, 57 tahun, berkata, kaedah kabin tersebut dihasilkan sejak 2015 lagi dan ia agak berbeza dengan kaedah menggunakan ketuhar pengering.
BACA: Ikan kering dijemur jadi santapan anjing sebelum dipasarkan
Jelasnya, perkara itu tercetus melalui Program Inovasi Sosial Kementerian Sains suatu ketika dahulu di mana pihaknya membiayai pembinaan teknologi dan inovasi yang dihasilkan kumpulan akar umbi.
Ia bermatlamat membantu nelayan mengatasi masalah pengeringan ikan bilis, udang kering dan juga ikan kering ketika musim tengkujuh.
"Pada masa itu, mereka sukar untuk mengeringkan. Yang menjadi isu ialah, mereka terpaksa menjual hasil tangkapan ke kilang-kilang baja dengan harga yang murah, menyebabkan mereka kehilangan potensi pendapatan yang baik.
"Sebab itu, kita meneruskan program ini sekarang di bawah satu program yang kita namakan sebagai community empower programme, di mana komuniti berkongsi menggunakan kemudahan kabin ini untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran mereka," katanya.
BACA: Ikan dijemur hanya ikan baja - Jabatan Perikanan Kedah
Sementara itu, pemborong tempatan, Anzie Husnidah, 28 tahun, berkata terdapat beberapa perbezaan antara kaedah pengering ketuhar (oven) dan kabin (secara tradisional menggunakan cahaya matahari).
"Saya ingin menceritakan perbezaan antara kabin dengan kering matahari tradisional. Bagi saya, kering oven ini sangat-sangat berbeza, dengan harga dan kualiti.
"Pemborong sangat-sangat berminat dengan hasil yang kering oven, di mana ia kering 100 peratus, kalau matahari hanya 70 peratus.
"Dari segi ketahanan atau kualiti, kalau kering matahari akan bertahan selama empat bulan, tetapi kalau kering oven, akan bertahan sehingga lapan bulan.
"Ia akan berubah warna, dari segi habuk dan kepala ikan bilis, ia akan tertanggal. Ia lebih baik sedikit daripada kering matahari," katanya.
Tambahnya, secara keseluruhan, produk yang dikeringkan di kabin lebih tahan lama serta berkualiti.
#anjing jamah ikan kering #ikan bilis #ikan kering #kabin pengering #kebersihan #kualiti #makanan laut kering #perusahaan #Sabah #Tuaran
;