Hina Sultan Kedah, lelaki dipenjara sebulan, denda
Adie Sufian Zulkefli
September 12, 2024 15:45 MYT
September 12, 2024 15:45 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis kerana membuat hantaran berupa hasutan terhadap institusi diraja di TikTok miliknya pada Julai lalu.
Majistret, M Kalaiarasi juga memerintahkan Nor Ismail Amran Ghazilah, 42, dipenjara lapan bulan jika gagal menjelaskan denda.
Lelaki itu didakwa menerbitkan penerbitan menghasut melalui aplikasi TikTok iaitu: "Negeri Kedah curi hasil negeri lain-lain.. Sultan Kedah pencuri sebenar ketika itu, saya cabar seluruh Istana Anak Bukit dan mencabar Sultan Kedah".
Tertuduh yang berasal dari Kuala Lumpur itu didakwa melakukan kesalahan di Pekan Sungai Petani pada jam 10 malam 6 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Nor Ismail merayu agar hukuman diringankan dan memberitahu mahkamah bahawa dia tidak bermaksud untuk menghasut kerana tidak membuat ucapan dan hanya menulis di Tik Tok sahaja.
"Saya tak sangka ada orang nak buat 'report' (laporan polis)," katanya.
Dalam rayuan yang sama, tertuduh turut memohon mahkamah menghalang media membuat liputan kes berkenaan.
"Saya mohon mahkamah tak benarkan media cover (membuat liputan), kes saya tak besar.
"Tadi saya pergi tandas ada media ambil gambar, mohon mahkamah halang media," katanya yang turut diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farahdina Che Bakar.
Farahdina kemudian turut memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan terhadap tertuduh memandangkan ia merupakan kesalahan pertama dan sudah menyesal atas perbuatannya.
Katanya, tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai pekerja kontrak sudah lapan bulan tidak bekerja dan tinggal bersama ibu yang sudah tua.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeya memohon hukuman penjara yang setimpal kerana membabitkan hasutan terhadap institusi diraja selain memberi pengajaran kepada tertuduh agar lebih berhati-hati menggunakan media sosial serta memberi pengajaran kepada orang awam.
Selepas hukuman dibacakan, Majistret menjelaskan mahkamah tidak dapat menghalang pemberita membuat liputan kes itu kerana itu merupakan kebebasan media.