Hina Sultan: Ahli Dewan Diraja Selangor lapor polis, tuntut MB Kedah mohon maaf
Bernama
Julai 14, 2023 21:40 MYT
Julai 14, 2023 21:40 MYT
SHAH ALAM: Lima ahli Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa mempertikai kewibawaan institusi diraja Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri itu.
Mereka terdiri daripada Tan Sri Ambrin Buang, Tan Sri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Datuk Emran Kadir membuat laporan tersebut di Balai Polis Seksyen 6 di sini hari ini.
Mereka juga menuntut Muhammad Sanusi membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu tersebut dengan kadar segera.
Emran berkata kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu disifatkan satu penghinaan kepada institusi diraja Selangor kerana melibatkan pelantikan Menteri Besar (MB) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang seolah-olah tidak wajar atau tepat.
"Tuanku (Sultan Selangor) boleh melantik siapa sahaja untuk menjadi MB Selangor, asalkan pemimpin berkenaan mendapat majoriti (termaktub) segi (dalam) perlembagaan. Tuanku telah melantik (individu yang) tepat dan tidak patut dipersoalkan.
"Kenyataan (Muhammad Sanusi) seperti MB yang dilantik tidak betul (layak), ini kami anggap kenyataan yang tidak wajar dan menghina institusi diraja Selangor. Kami tuntut permohonan maaf secara terbuka secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah anjuran PN didakwa mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghina Sultan Selangor.
Menerusi video tular tersebut, Muhammad Sanusi turut didakwa meremehkan pelantikan Amirudin.
-- BERNAMA