Hina Raja Perlis, peniaga dihadap ke mahkamah

Adie Sufian Zulkefli
April 16, 2024 15:28 MYT
Hasbullah didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
KANGAR: Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas kesalahan menghantar perkhidmatan komunikasi jelik mengenai Raja Perlis di laman Facebook pada Mac lalu.
Tertuduh, Hasbullah Mohammad, 41, dari Changlun, Kedah bagaimanapun hanya mengganguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Musyiri Peet.
Mengikut pertuduhan, Hasbullah melalui aplikasi Facebook dengan menggunakan nama profil 'Muhammad Muhammad (ku tehh ku muhamnad)' secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Raja Perlis dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Tertuduh didapati melakukan perbuatan itu pada 6 Mac lalu sekitar jam 3.26 pagi dan hanya disedari pengadu yang juga pelayar Facebook pada 7 pagi hari yang sama.
Oleh kerana itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perlis, Muhamad Asyraf Md Kamal dan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Chek Pi manakala tertuduh diwakili peguam Syazwan Shaidan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Muhamad Asyraf dalam hujahannya meminta mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan ia adalah kesalahan serius membabitkan isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) yang dilihat semakin kerap berlaku mutakhir ini.
Muhamad Asyraf bagaimanapun merayu sekiranya mahkamah tetap mahu memberi jaminan terhadap tertuduh, maka satu jaminan yang tinggi perlu dikenakan kepada tertuduh.
Sementara itu, Syazwan yang mewakili tertuduh pula merayu mahkamah untuk menawarkan satu jaminan yang minimum terhadap tertuduh memandangkan dia mempunyai masalah kesihatan mental dan terpaksa menanggung ibunya yang uzur dan lumpuh.
Selain itu, Syazwan berkata tertuduh mempunyai dua surat menjalani rawatan susulan pemeriksaan psikiatri di hospital di Kuala Lumpur dan Kangar.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental di sebuah hospital psikiatri selama sebulan.
Tiada jaminan ditetapkan mahkamah namun jaminan berkenaan hanya akan ditetapkan selepas mahkamah menerima laporan penilaian psikiatri tertuduh selepas ini.
Mahkamah menetapkan 15 Mei hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.
#hina Raja Perlis #kes mahkamah #masalah mental #Facebook
;